Pengurus Arsenal, Mikel Arteta telah disahkan positif dijangkiti wabak coronavirus.
The Gunners kini telah menutup pusat latihan dan kakitangan kelab yang berkaitan dengan Arteta telah dikuarantin.
Pihak Premier League dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari ini untuk berbincang mengenai baki perlawanan yang belum berlangsung.
“[Jangkitan] ini amat mengecewakan tetapi saya menjalani pemeriksaan selepas rasa tidak sihat,” kata pengendali dari Sepanyol itu.
“Saya akan meneruskan tugas apabila sudah dibenarkan [oleh perubatan].”
Susulan pengesahan tersebut, Arsenal turut menjangkakan sejumlah individu terpaksa dikuarantin termasuk pemain dari skuad utama.
20 kelab yang bertanding mahu meutuskan strategi terbaik dalam menangani masalah ini, dan salah satunya adalah dengan menangguhkan kesemua 10 perlawanan yang dijadualkan pada hujung minggu ini.
“Kesihatan setiap daripada kita dan orang awam adalah keutamaan kami dan di mana fokus kita seharusnya berada,” kata Pengarah Pengurusan Arsenal, Vinai Venkatesham.
“Kami sedang aktif melakukan dialog bersama mereka yang menguruskan situasi sebegini, dan hanya akan kembali memulakan latihan dan bermain bola sepak selepas dibenarkan selepas mendapatkan khidmat perubatan.”
Arsenal dijadualkan beraksi menentang Brighton pada Sabtu ini di saingan liga setelah perlawanan kelab London itu menentang Manchester City pada pertengahan minggu lalu ditangguhkan untk tujuan berjaga-jaga.
Penularan wabak coronavirus di kalangan staff Arsenal dikatakan berpunca dari pertemuan dengan pemilik Olympiakos, Evangelos Mariankis yang disahkan dijangkiti wabak tersebut dua minggu lalu ketika kunjungan ke Greek untuk perlawanan Liga Europa.
Selain kes di Arsenal, pemain pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy turut mengasingkan dirinya dari pemain lain selepas salah seorang ahli keluarga dimasukkan ke hospital kerana menunjukkan simptom dijangkiti.
Sebelum itu, Brendan Rodgers turut mengumumkan tiga pemain Leicester City turut dikuarantin atas sebab yang sama.