Minggu ketiga CIMB Liga Super 2020 telah berlalu dengan enam perlawanan telah berlangsung pada Selasa dan Rabu dengan tumpuan terarah kepada pertembungan Terengganu dan Selangor yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Selain itu, pertemuan UiTM FC dan Kedah juga berjaya mencuri tumpuan kerana kedua-duanya dalam misi penting pemburuan mata pertama liga yang akhirnya berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi mata.
Berikut adalah lima perkara yang mungkin menarik sepanjang minggu ketiga Liga Super berlangsung. Para pembaca juga boleh menyenaraikan perkara lain yang mencuri perhatian sepanjang minggu ketiga tempohari di ruangan komen.
Ivan Carlos dan Ifedayo Olusegun
Apa yang menarik mengenai kedua-dua penyerang ini adalah, mereka telah meledak gol dalam ketiga-tiga aksi di Liga Super setakat ini. Malah, Pahang dan Selangor telah bertemu dalam perlawanan pertama yang dimenangi Gergasi Merah 2-1.
Tiga gol dalam tiga perlawanan membolehkan mereka ketika ini berada di belakang penyerang Terengganu, Dominique da Sylva yang telah merekodkan empat jaringan gol sebagai pendahulu penjaring terbanyak Liga Super musim 2020 ketika ini.
Ketangkasan Bryan See Tian Keat
Sudah agak lama kita tidak melihat penjaga gol berbangsa Cina dan kemunculannya bersama PDRM FA sebagai pemain utama dalam aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melonjak naik namanya dengan ketangkasannya di gawang.
Lebih sepuluh peluang boleh gol JDT telah berjaya dinafikannya samaada melalui tangkapan kemas ataupun tepisan membolehkannya mungkin dinobat pemain terbaik perlawanan. JDT hanya berhasil meledak gol pada minit ke-85.
Melaka United terkejut besar
Menang dalam dua aksi pertama dengan aksi yang cemerlang membolehkan mereka berada di persada Liga Super, namun nampaknya mereka ‘terlena’ seketika sehingga tumbang kepada FELDA United yang dijangkan perlawanan yang mudah buat mereka.
Bolos satu gol dalam dua aksi, skuad Hang Tuah dalam aksi ini telah dibocori dan ketinggalan tiga gol sebelum bangkit di 10 minit terakhir untuk mendekatkan jurang jaringan, namun masih gagal untuk mencuri mata daripada The Fighters.
Kedah masih kemarau kemenangan
Cuaca di utara tanah air masih kemarau dan agaknya turut memberi kesan kepada persembahan anak didik Aidil Sharin ini yang juga masih kemarau untuk meraih kemenangan pertama liga selepas tiga perlawanan telah dilangsungkan.
Berdepan UiTM FC yang pada permulaan musim dianggap sebagai ‘lubuk’ mata menjadi sebaliknya apabila Kedah dan sebelum ini JDT dilihat berhempas pulas untuk memberikan saingan kepada pasukan yang musim pertama di Liga Super.
JDT rampas takhta
Selepas dua minggu takhta Liga Super menjadi milik Melaka United, kini ia berpindah tangan dengan JDT berjaya memintas kedudukan mereka hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM dan tiga mata ketiga mereka selepas tiga perlawanan belangsung.
Musim lalu, JDT merampas takhta liga daripada Kedah bermula pada minggu ke-4 dan kemudian terus mengungguli kedudukan teratas tersebut sehingga ke penghujung musim kecuali pada minggu ke-7, dipintas oleh Pahang buat seketika.
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA