Menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab Korea Selatan, Suwon Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam ini, kedua-dua pasukan dijangka bakal menyajikan aksi menarik dan sengit.
Namun apa yang menarik perhatian ketika sidang media yang diadakan pada Isnin adalah kenyataan penyerang Suwan Bluewings, Adam Taggart yang mendakwa JDT mempunyai lapan orang ‘pemain import’.
“JDT adalah sebuah kelab besar dengan stadium yang hebat, sokongan padu penyokong serta lapan pemain import berrsama pemain tempatan terbaik. Saya fikir ia akan merupakan perlawanan yang sukar,” kata pemain Australia berusia 27 tahun itu seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Seperti yang diketahui, semua pasukan Liga Super Malaysia telah dihadkan untuk mendaftarkan lima orang pemain import sahaja dan JDT juga telah memenuhkan kesemua kuota tersebut. Lima pemain import JDT adalah Diogo (Brazil), Gonzalo Cabrera (Iraq-Argentina), Leondro Velazuez (Argentina), Mauricio (Brazil) dan Hariss Harun (Singapura).
Jadi ada kemungkinan Taggart telah tersilap anggap bahawa beberapa pemain kacukan dan naturalisasi yang bersama JDT sebagai ‘pemain import’. Antaranya adalah La’Vare Corbin-Ong, Matthew Davies, Natxo Insa dan Liridon Krasniqi.
Corbin-Ong, Davies dan Insa merupakan pemain kacukan dan sudah pun meyarung jersi Harimau Malaya sebelum ini, sementara Liridon pula baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia selepas berjaya didaftarkan sebagai pemain naturalisasi kedua bagi skuad negara.
Sementara itu, ketua jurulatih Suwon Bluewings, Lee Lim Saeng mengakui skuad kendaliannya berdepan dengan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia. Namun ianya bukanlah penghalang untuk pasukannya mencuba yang terbaik dan berusaha membawa pulang tiga mata penuh.
“Saya tahu bukan mudah dan kami menghormati pasukan Johor ini yang menjadi juara Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut,” katanya
Dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Visssel Kobe pada 12 Februari, JDT tumbang kepada Vissel Kobe di tempat lawan. Kemudian pasukan Jepun itu meraih kemenangan kedua selepas menumpaskan Suwon Bluewings 1-0 pada 19 Februari lalu.
Kredit Foto: Johor Southern Tigers