Desas-desus yang mengatakan pemain skuad kebangsaan Kemboja, Thierry Chanta Bin sudah pun menyertai pasukan Perak kini kelihatan semakin terjawab.
Meskipun Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai kehadiran Chanta Bin, The Star kelihatan telah merungkai spekulasi yang kian hangat dalam kalangan penyokong skuad ‘Yob’ itu.
Hal ini kerana salah satu soalan yang ditujukan wakil mereka kepada pemain tengah Perak, Firdaus Saiyadi dalam satu laporan pada hari ini turut menjurus kepada pemain import kuota Asia Tenggara (ASEAN) itu.
”Kedua-dua mereka (merujuk kepada Leandro Dos Santos dan Thierry Chanta Bin) memberikan tunjuk ajar dari segi bertahan dalam permainan. Leo dan Thierry cukup dikenali kerana keupayaan mereka membantu barisan pertahanan dengan terjahan-terjahan yang baik dilakukan mereka.”
”Apa yang saya suka mengenai kedua-dua pemain ini adalah mereka merupakan ‘team player’. Mereka sanggup untuk bermati-matian demi pasukan.”
”Ia menjadi inspirasi buat saya untuk menjadi seperti mereka juga.”
Ternyata temubual ini sudah cukup untuk menjawab persoalan siapakah pemain import kuota ASEAN yang diisi Mehmed Durakovic bagi menghadapi musim 2020 ini.
Namun yang sedikit menghairankan, Chanta Bin sebelum ini sudah menandatangani kontrak bersama kelab Toyota Thai League 1, Sukhotai FC.
Dalam pada itu, sumber yang boleh dipercayai turut berkongsikan bahawa pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jeon Hyo-seok terpaksa dihantar pulang kerana mengalami kecederaan dan tempatnya dikhabarkan akan diisi pertahanan daripada Australia.
Kredit foto: Terengganu FC