Untuk saingan Liga Malaysia 2020, Perak akan beraksi tanpa tiga pemain utama dari musim lalu, selepas Nasir Basharuddin, Brendan Gan dan Norhakim Hassan memilih untuk mencari angin baharu.
Namun bagi pengendali Perak, Mehmed Durakovic, perpindahan pemain adalah perkara biasa di dalam bola sepak.
Malah pengendali dari Australia itu setakat ini berpuas hati dengan barisan pemain yang dimilikinya setakat ini untuk berhadapan cabaran di musim baharu.
“Tidak mengapa. Itu hak mereka untuk memilih pasukan lain. Saya harap mereka akan berjaya di tempat baru,” ujar beliau kepada Stadium Astro.
“Saya akan bina pasukan dengan bahan yang saya ada. Lagipun saya masih ada ramai pemain yang saya tahu.”
Skuad The Bos Gaurus memulakan latihan pertama untuk Liga Malaysia 2020 secara rasmi semalam.
“Ada kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan. Jadi, tengoklah macam mana perjalanannya kelak.
“Kami kena bekerja keras untuk mempersiapkan diri. Apa yang pasti, pemain sudah bersedia untuk memulakan tugasan, begitu juga saya,” tambahnya lagi.
Cheers to 2019! Here comes #TBG2020.
#KejorrYobKejorr
#KejorrYobSkorrPosted by Perak TBG on Tuesday, December 31, 2019
Untuk cabaran musim akan datang, Perak setakat ini sudah mengesahkan khidmat penyerang import, Guilherme de Paula.
Selain daripada De Paula, antara pemain tempatan yang dikatakan sudah sah menyertai skuad kendalian Durakovic ialah Hafiz Ramdan daripada PKNP FC.
Antara pemain dari musim lalu yang terus bersama Perak pula adalah seperti Shahrel Fikri, Careca, Shahrul Saad, Nazirul Naim, Beto, Firdaus Saiyadi, Kenny Pallraj, J Parthiban, Amirul Azhan, dan Idris Ahmad.
Beberapa nama lain dijangka akan diumumkan oleh pihak pengurusan Perak FA dari semasa ke semasa sebelum pintu perpindahan pemain ditutup pada Mac hadapan.