AFF Tetapkan Piala Suzuki AFF 2020 Bermula 23 November

Piala Suzuki AFF 2020

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dilaporkan telah menetapkan tempoh masa bagi saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang merupakan kejohanan paling berprestij di Asia Tenggara.

Saingan yang menampilkan 10 negara ASEAN itu bermula pada 23 November dan perlawanan akhir kedua berlangsung 31 Disember.

Format yang digunakan pada tahun 2018 iaitu dua perlawanan peringkat kumpulan di laman sendiri dan dua lagi aksi di tempat lawan masih lagi dikekalkan untuk edisi kali ini.

Sepak mula kejohanan dwitahunan itu terpaksa dilewatkan daripada kebiasaan bagi mengelakkan pertembungan dengan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang turut disertai beberapa negara ASEAN.

Jendela FIFA untuk pertandingan peringkat antarabangsa dijadualkan antara 15 dan 19 November.

Undian bagi menentukan pembahagian kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 pula dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun ini.

Dua tahun lalu menyaksikan hajat skuad negara untuk mengulangi kejayaan 2010 tidak kesampaian selepas usaha mereka digagalkan Vietnam yang muncul juara selepas menang 3-2 secara agregat.

Jaringan tunggal Nguyen Anh Duc pada perlawanan akhir kedua sudah cukup untuk menghadiahkan gelaran juara buat kali kedua buat Vietnam selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kredit foto: Vietnam News Agency

 

 

Leave a Reply