Jodoh Datuk Ong Kim Swee dan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara akhirnya sampai ke penghujung selepas kontrak pengendali kelahiran Melaka itu dilaporkan tidak disambung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Berita itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan dikeluarkan Bernama yang berbunyi:
“Kontrak Datuk Ong (Kim Swee) sebagai ketua jurulatih skuad B-22/B-23 yang berakhir pada penghujung 2019 tidak akan disambung.”
“Berhubung keputusan [Sukan SEA 2019], kami betul-betul kecewa. Kami akan melakukan post-mortem apa yang berlaku untuk pastikan perkara sama (prestasi buruk) tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Diharapkan perkara itu dapat diperbaiki,” ujar Stuart Ramalingam.
Sukan SEA 2019: Formasi 3-4-3 Bukan Punca Bungkus Awal – Kim Swee
Keputusan itu mungkin dianggap tepat oleh penyokong skuad negara apabila melihatkan kepada pencapaian buruk skuad B-22 negara tersingkir awal di peringkat kumpulan saingan Sukan SEA 2019.
Meskipun dilihat mempertaruhkan skuad yang boleh dikatakan mantap dan memiliki kelebihan tidak berada satu kumpulan dengan Vietnam, Indonesia dan Thailand, barisan anak buah Datuk Ong Kim Swee tampil longlai pada edisi kali ini.
Datuk Ong Kim Swee sebelum ini mempunyai reputasi baik dalam membimbing pasukan B-22 selepas mengemudi skuad pingat emas Sukan SEA 2011 dan memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Selain itu, keupayaan mara ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 2018 turut menjadi antara detik membanggakan buat Datuk Ong Kim Swee sepanjang membimbing pasukan.
Kredit foto: FAM