Semalam telah tular sebuah video sejurus perlawanan Malaysia menentang Filipina dalam aksi kedua, Kumpulan A, Sukan SEA 2019 yang menonjolkan sisi lain skuad Filipina. Malaysia tewas 0-1 kepada tuan rumah hasil jaringan tunggal Stephan Schrock.
Video tersebut memaparkan sesi bersalaman kedua-dua pasukan selepas perlawanan berakhir yang menunjukkan tindakan seorang pertahanan Filipina berusia 19 tahun, Justin Baas yang menampar tangan semua pemain Malaysia dengan gaya kurang profesional.
Selepas selesai sesi tersebut, Justin Baas dilihat menunjukkan satu reaksi yang mendapat sorakan kuat semua penyokong tuan rumah. Kapten, Adam Nor Azlin dilihat kurang berpuas hati dengan situasi itu dilihat cuba mendapatkan penjelasan daripada pengadil.
Pemain skuad negara yang turut memberikan tindak balas kepada aksinya itu, termasuklah Dominic Tan dan Danial Amier yang mungkin mahukan pemain tersebut kembali ke padang untuk meminta maaf atas tindakan biadapnya kepada pemain negara.
Namun, kelihatan beberapa pemain seperti Amani Aguinaldo dan juga staf kejurulatihan skuad Filipina cuba menenangkan keadaan. Tidak dapat dipastikan kesudahan kepada isu tersebut.
https://www.instagram.com/p/B5mrOIvJa0G/?utm_source=ig_web_copy_link
Sementara laman Instagram, ASEAN Football yang memaparkan video tersebut juga seakan-akan mengkritik tindakan pemain muda itu dengan caption, “Sikap buruk yang dipamerkan pemain Filipina, Justin Bass ketika bersalaman dengan pemain Malaysia.”
Tindakan yang boleh dianggap sebagai biadap selepas berjaya menewaskan Malaysia itu tidak mencerminkan pemain tersebut seperti pemain yang beraksi di Belanda. Justin Baas merupakan pemain skuad simpanan AZ Alkmaar sejak musim 2018 lalu.
Rata-rata komen yang diambil di video yang dimuatnaik itu mahu skuad negara membalas dendam dengan menyingkirkan Filipina daripada saingan iaitu dengan menang ke atas Kemboja pada petang ini dan mengharapkan Timor Leste kental ‘bertahan’.
Tindakan penyokong Malaysia menyerang Instagram pemain itu akhirnya telah memaksa pemain itu menutup bahagian komen.
Malaysia akan turun menentang Kemboja untuk aksi terakhir Kumpulan A pada petang ini dan diharapkan perkara sebegini mampu untuk melonjak semangat para pemain yang ketika ini memerlukan kemenangan mutlak untuk mara ke separuh akhir.
Kredit Featured Image: Asean Football