Datuk Ong Kim Swee menyifatkan peluang setiap pasukan bertanding dari Kumpulan A dan Kumpulan B untuk layak ke pusingan kalah mati dan muncul juara adalah sama.
Walaupun tampil sebagai antara pengendali paling berpengalaman di dalam bola sepak di temasya dwi tahunan ini, Ketua Jurulatik Skuad Kebangsaan Bawah 22 (B-22) ini menyifatkan saingan di Filipina pada kali ini adalah berbeza berbanding temasya-temasya sebelum ini.
“Setiap pasukan mahu menang (pingat emas) dan saya percaya Sukan SEA kali ini akan berbeza sekali dari Sukan SEA lepas kerana ini kali pertama dua pemain lebih umur dibenarkan bermain, dan ini menjadikan semua pasukan dalam Kumpulan A dan B, seimbang,” katanya pada sidang media pra perlawanan di sini hari ini.
‘Don’t dream of success…. stay awake to achieve it’#TEAMNEGARAKU ?? #SEAGames2019 pic.twitter.com/VO781mJYTz
— ONG KIM SWEE (@OKS_HarimauMsia) November 22, 2019
Dua pemain lebih umur yang disenaraikan oleh Kim Swee untuk menyertai cabaran negara di temasya kali ini ialah pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim, Adam Nor Azlin, 23 dan Muhammad Irfan Zakaria, 24.
Kedua-dua pemain bukanlah asing bagi Kim Swee kerana merupakan tunjang pasukan skuad B-23 yang pernah dikendalikan oleh beliai sebelum ini.
Bagi Kim Swee, penyertaan dua pemain lebih umur akan menghangatkan lagi perlumbaan untuk skuad negara mengejar pingat emas di Filipina.
Acara bola sepak lelaki akan diadakan di tiga venue, iaitu di Stadium Memorial Rizal, Stadium Binan dan Imus Grandstand and Track Oval.
Jadual Perlawanan Sukan SEA 2019 (Lelaki)
Skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk @OKS_HarimauMsia akan berdepan Myanmar (25 November), Filipina (29 November), Timor-Leste (2 Disember) & Kemboja (4 Disember).
Dua teratas layak ke separuh akhir.#FAM #HarimauMalaya #SEAGames2019 pic.twitter.com/80HnR0TuQt
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 20, 2019
Turut senada dengan Kim Swee ialah Velizar Popov yang akan membawa cabaran skuad Myanmar di pertandingan itu.
“Kami berharap dapat beraksi dalam pertandingan yang berkualiti di Sukan SEA,” ujar pengendali dari Bulgaria yang pernah bersama Kelantan di saingan Liga Malaysia itu.
“Kesemua pasukan sudah tentu berada dalam keadaan terbaik mereka berdasarkan persiapan menyeluruh dilakukan sebelum tiba di Manila.”
Malaysia akan memulakan kempen Sukan SEA bertemu Myanmar pada petang ini, diikuti Filipina (29 Nov) , Timor Leste (2 Dis) dan Kemboja (4 Dis). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, di sini.