Tiga pemain dari senarai awal 26 pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan pusat kem negara sejak 3 November lalu digugurkan.
Ini membenarkan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe memuktamadkan senarai akhir 23 pemain untuk berhadapan dengan Thailand dan Indonesia di saingan Kumpulan G, pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Tiga pemain yang digugurkan adalah Farhan Roslan (Kedah), Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak).
Senarai 23 Pemain Harimau Malaya Bertemu Thailand & Indonesia
Berikut senarai nama 23 pemain dipilih ketua jurulatih…
Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Monday, November 11, 2019
Menurut kenyataan dari laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ketiga-tiga pemain digugurkan selepas penilaian yang dibuat ketika Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Tajikistan pada Sabtu lalu.
Antara pemain baharu yang tidak berada dalam skuad negara pada tiga perlawanan lalu dan kini dikekalkan oleh Tan Cheng Hoe ialah Baddrol Bakhtiar, Syazwan Andik dan juga Afiq Fazail.
Pasukan negara akan berhadapan Thailand pada 14 November ini, sebelum melayan kunjungan Indonesia pada 19 November.
Kedua-dua perlawanan akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.