Yakult Malaysia Jadi Rakan Kerjasama ASEAN Cerezo Osaka

Yakult Malaysia Sdn. Bhd. pada hari ini secara rasminya telah dipilih selaku rakan kerjasama ASEAN kepada kelab Liga Jepun (J1), Cerezo Osaka.

Kerjasama tersebut membenarkan kelab tersebut terlibat secara langsung membangunkan bakat muda dari peringkat akar umbi di negara ini.

Antara program yang akan dilaksanakan pada April 2020 ialah dengan memilih 15 pemain terbaik dari kalangan usia Bawah-15 tahun untuk diterbangkan ke Jepun.

Pemain-pemain ini akan berlatih dan bermain perlawanan persahabatan di negara matahari terbit itu bersama Akademi Cerezo Osaka serta diberikan pengalaman menonton perlawanan Liga Jepun sebagai pendedahan kepada bola speak profesional.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada dalam sidang media di ibu negara pada hari ini berkata Yakult Malaysia sangat komited dalam mempromosikan kesihatan dengan penganjuran aktiviti tanggungjawab sosial koporat (CSR) di negara ini.

“Sebagai rakan kerjasama ASEAN Cerezo Osaka, kami amat berharap dapat membangunkan aktiviti di peringkat akar umbi untuk kanak-kanak di Malaysia,” kata beliau.

Ditanya oleh wakil Semuanya BOLA di sidang media berkenaan mengapa Malaysia menjadi pilihan untuk tujuan pembangunan, Hamada berkata itu adalah kerana persamaan kanak-kanak di negara ini dengan kanak-kanak di Jepun secara mental.

“Kami akan terus menyokong impian mereka untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan berusaha untuk menjadikannya sebuah realiti,” tambah beliau.

Tiga lokasi di dalam negara yang akan diumumkan kemudian akan dipilih untuk ujian menyertai program ini, dan 100 peserta dijangka akan menyertainya pada tahun hadapan.

Sebelum ini empat pemain muda negara dibawa berlatih bersama Cerezo Osaka. Selepas Luqman Hakim sah menyertai K.V Kortrijk pada Mac hadapan, tiga pemain lain iaitu Harith Haiqal Adam Afkar, Muhammad Firdaus Khaironisam dan Ali Imran Sukari masih lagi menjalani latihan bersama kelab tersebut.

Leave a Reply