Kelayakan AFC B-19 2020: Malaysia Terus Berkenduri Jaringan

Malaysia

Skuad negara meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 19 (B-19) 2020 setelah membelasah Kepulauan Mariana Utara 10-0 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh sebentar tadi.

Pengendali skuad negara, Brad Maloney dilihat menggunakan kesempatan perlawanan ini bagi menguji pemain apabila merehatkan hampir kesemua pemain kebelasan utama ketika menang 11-0 ke atas Brunei tempoh hari.

Selepas meledakkan hatrik pada perlawanan lalu, Mohd Aiman Afif Md Afizul terus mencuri tumpuan dengan empat jaringan yang dihasilkannya.

Pemain berusia 18 tahun itu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh selepas umpanan daripada Mukhairi Ajmal Mahadi gagal ditangkap kemas penjaga gol, Jason Senobio Quimzon.

Aiman yang tidak berada dalam keadaan stabil masih mampu untuk menolak masuk bola untuk gol pertama buat pasukan negara.

Berselang dua minit kemudian, Hazim Abu Zaid melebarkan kedudukan menerusi percubaan lambung cantik yang menghampakan Jason Senobio.

Selepas itu, skuad muda terpaksa menunggu minit ke-20 untuk menambah jaringan ketiga hasil rembatan deras dari luar kawasan penalti yang diledakkan Muhammad Aidil Azuan.

Ketika aksi babak pertama memasuki masa kecederaan, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim menanduk masuk bola susulan sepakan penjuru yang diambil Muhammad Firdaus Khaironnisam.

Memasuki separuh masa kedua, barisan pemain negara terus tampil dengan lebih garang apabila berjaya menambah enam lagi jaringan yang dimulakan gol daripada Mohd Aiman Afif pada minit ke-46.

Fahmi Daniel menjadikan kedudukan 6-0 pada minit ke-56 selepas mudah melepaskan rembatan dalam kawasan penalti berpunca daripada acahan Mukhairi Ajmal yang memperdayakan pertahanan dan penjaga gol lawan.

Kesilapan Jason Senobio yang mengasari Mohd Aiman Afif dalam kawasan penalti memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat skuad negara. Firdaus Ramli yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang mengukuhkan kedudukan pada minit ke-64.

Hanya selepas dua minit jaringan ketujuh terhasil, Muhammad Azrul Haikal Ramlee meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti yang tidak mampu dihalang Jason Senobio.

Mohd Aiman Afif kemudiannya melengkapkan hatrik pada minit ke-74 selepas percubaan susulannya mudah menerjah gawang berpunca rembatan awal daripada Firdaus Khaironnisam yang terlebih dahulu ditepis penjaga gol.

Bukan tiga tetapi empat buat Aiman Afif apabila tandukannya hasil hantaran jauh dilakukan Firdaus Ramli pada minit ke-79 melengkapkan kemenangan 10-0 buat skuad negara.

Sememangnya cemrlang menghadapi dua perlawanan dengan 21 gol dicipta serta tanpa sebarang gol dibolosi, tetapi kem skuad B-18 tahun negara pasti sedar ancaman lawan sebenar mereka adalah pada Ahad ini apabila Thailand menanti pada aksi terakhir.

Kredit foto: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN