Kuala Selangor Batu Dua FC meneruskan rentetan kekalahan buat SA AZE FC selepas menundukkan lawan dari Shah Alam tersebut dengan keputusan 2-0 pada aksi pertama minggu kelima saingan Selangor Champions League 2019 (SCL2019) di Arena MPSJ, Subang Jaya petang semalam.
Ia menyaksikan SA AZE FC mencatatkan kekalahan kelima berturut-turut manakala Kuala Selangor Batu Dua FC pula meraih kemenangan ketiga daripada lima perlawanan yang dilalui.
Aksi pada 35 minit pertama menyaksikan tiada jaringan dapat dihasilkan walaupun Kuala Selangor Batu Dua FC lebih menguasai permainan dan turut menjelmakan peluang ke arah gawang SA AZE FC yang dikawal Nik Najmee.
Segalanya berubah pada minit ke-55 selepas Naven A/L Devarajoo menyudahkan dengan mudah peluang yang berpunca daripada gerakan dari sebelah kiri pintu gol SA AZE FC oleh Firdaus Selvam bagi membuka tirai jaringan.
Jaringan tersebut nyata meningkatkan moral para pemain Kuala Selangor Batu Dua FC dan Naven sekali lagi cemerlang bagi melebarkan kedudukan pada minit ke-67.
Naven melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti yang sedikit terbias terkena pertahanan lalu berjaya menewaskan Nik Najmee.
Dengan kemenangan ini, Kuala Selangor Batu Dua FC menduduki tangga teratas kumpulan A buat seketika dengan 10 mata.
Kedudukan itu akan terancam sekiranya pendahulu sebelum ini, Kingstown Klang FC menundukkan Gombak RRM FC Unlimited malam ini. SA AZE FC pula terus berada di dasar liga tanpa sebarang mata.
Pemain terbaik perlawanan: Naven A/L Devarajoo (Kuala Selangor Batu Dua FC)