Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh bersedia untuk memberikan segala yang termampu untuk membawa Pahang menjejaki pentas final Piala Malaysia musim ini.
Dia sedar ia bukan tugas mudah apatah lagi halangan yang mereka bakal tempuhi di separuh akhir adalah juara Piala FA 2019 Kedah dengan pertembungan pertama di Stadium Darul Aman, esok.
Musim lalu, skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh itu terkandas di suku akhir apabila tewas menerusi agregat 3-1 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sumareh,25, mengakui Piala Malaysia antara gelaran yang menjadi buruannya sejak bersama Pahang sejak 2017.
Jelas pemain naturalisasi kelahiran Gambia itu, sememangnya dia amat berharap untuk mara ke final selepas kali terakhir Pahang muncul juara pada 2013.
“Saya akan bagi seratus peratus komitmen untuk pasukan dan berharap kami akan ke final. Sejak saya bersama Pahang, Pahang hanya layak ke separuh akhir sahaja, manakala kita pernah ke final Piala FA pada 2017.
“Saya berharap kami mampu melakukannya kali ini dan ini pastinya satu pencapaian baik buat diri saya sendiri,” katanya.
Rekod pertemuan Pahang bertemu Kedah agak baik musim ini apabila berjaya mengalahkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak 1-0 di laman sendiri sebelum seri 0-0 di Alor Setar.
Menurut Sumareh, mereka sudah membuat persediaan terbaik untuk aksi pertama ini dan berharap dapat membawa bekalan selesa untuk dibawa pulang.
“Jelas sekali saya dan rakan sepasukan mahu memenangi perlawanan ini tapi kami perlu berusaha keras,” katanya.
Kredit foto: Pahang FA