Quantcast

BERITA

Ken Ilso Digantung Dua Tahun Selepas Positif Dadah

Bekas penyerang import Kedah, Ken Ilso Larsen digantung selama dua tahun oleh Federasi Bola Sepak Australia selepas beliau  disahkan positif ujian doping.

Pemain berusia 32 tahun itu telah dikesan mengambil bahan terlarang Benzoylecgonine (Kokain) ketika satu ujian yang dilakukan pada 27 Januari lalu.

Sehubungan dengan itu menurut sumber New Straits Times, Ken Ilso digantung sementara pada bulan Mac sementara menunggu siasatan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Anti Doping Sukan Australia.

Mengulas mengenai penggantungan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain-Pemain Profesional Australia (PFA), John Didulica menegaskan kepentingan untuk memberikan sokongan buat pemain tersebut.

”Ia merupakan saat yang sukar buat Ken di Australia dan ia sangat penting buatnya untuk mendapatkan sokongan buatnya bagi melalui cabaran penting dalam hidupnya.”

Sepanjang bersama Kedah pada musim 2017, pemain kelahiran Denmark itu telah berjaya menjaringkan 24 gol daripada 28 penampilan.

Beliau juga menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan akhir Piala FA 2017 yang menyaksikan Kedah merangkul kejuaraan selepas menundukkan Pahang 3-2 di Shah Alam.

Selain daripada Kedah, Pulau Pinang menjadi skuad Liga Malaysia kedua yang pernah disertai tetapi jodohnya tidak bertahan lama apabila beliau memilih untuk meninggalkan pasukan tersebut pada pertengahan musim.

Kredit foto: Norazmi Ibrahim / www.asiana.my