Liverpool dilaporkan mahu melantik jurulatih skuad remaja Porto, Vitor Matos sebagai jurulatih akademi.
Liverpool dalam proses memuktamadkan perjanjian dengan Vitor Matos. Jika segalanya berjalan lancar, Matos akan membantu Klopp di peringkat pembangunan.
Beliau diharap akan dapat membina titian yang lebih kukuh di antara pasukan remaja dengan pasukan utama.
Buat masa ini, Jurgen Klopp dilaporkan tidak begitu berpuas hati dengan jarak di antara akademi dengan pasukan utama, meskipun Liverpool berjaya mempromosi beberapa nama pemain muda ke pasukan utama termasuk Trent Alexander-Arnold, dan Rhian Brewster.
Jawatan tersebut sebelum ini dipegang oleh Pepijn Lijnders. Namun beliau sudah dinaikkan pangkat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zeljko Buvac – yang pergi mengejut musim lalu.
Matos merupakan kenalan rapat kepada Lijnders ketika di Porto. Mereka pernah bekerjasama dalam pelbagai jawatan di sana.
Matos menyertai Porto pada 2011, bekerja sebagai pemantau bakat, namun selepas itu beliau menjadi pembantu jurulatih pasukan Porto B.
Jurgen Klopp is set to bolster his coaching staff with Porto coach Vitor Matos to help bridge the gap between Liverpool's academy and Melwood
✍ @LynchStandard https://t.co/zK9tlxinxP
— Standard Sport (@standardsport) September 29, 2019
Matos, fasih dalam bahasa Sepanyol dan Inggeris. Beliau pernah menjadi ketua jurulatih pasukan B-16 Porto.
Musim lalu, Matos bekerja dengan Shandong Luneng sebagai Pengarah Teknikal pasukan pembangunan kelab tersebut.
Beliau pemegang lesen UEFA Elite Youth A. Matos mahu mencari cabaran baharu di dalam kariernya dan mencuba nasib memohon jawatan di Liverpool.
Standard UK melaporkan, buat masa ini, segala perbincangan berjalan lancar dan positif. Beliau dijangka akan diumumkan secara rasmi pada hujung minggu ini oleh Liverpool.