Aksi tidak menentu dipamerkan anak buahnya jelas membuatkan pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino kurang senang dengan perkembangan terkini kelab dari London tersebut.
Pochettino telah berbelanja hampir £100 juta pada jendela perpindahan musim panas lalu bagi menyediakan satu pasukan yang lebih mantap berbanding musim lalu.
Tottenham Hotspur mencatatkan dua kemenangan, dua keputusan dan satu kekalahan dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi lima perlawanan manakala terikat 2-2 pada aksi sulung Liga Juara-Juara Eropah 2019/20 menentang Olympiakos di Athens.
”Kami akan lihat pada penghujung musim nanti. Pada ketika ini saya tidak percaya bahawa ini merupakan skuad terbaik yang dimiliki.”
”Tetapi sekiranya hanya melihatkan kepada keputusan, ia mudah untuk mengatakan skuad musim lalu adalah yang terbaik kerana kami berjaya layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.”
”Tetapi jika kita lihat sekiranya kita mampu mengulangi atau memenangi beberapa trofi, mungkin kita boleh berkata tentang ini adalah skuad terbaik kami.”
Dengan lapan mata dimiliki, Tottenham Hotspur kini menghuni tangga keempat liga dan mampu untuk memperbaiki kedudukan tersebut sekiranya berjaya menundukkan Leicester City pada aksi keenam yang berlangsung di King Power Stadium, malam ini.
Pembelian Tanguy Ndombele dari Lyon pada jendela musim panas lalu dengan nilai £53.8 juta telah memecahkan rekod pembelian termahal buat Spurs.