Editorial SB: 10 Hajat Orang Kita Untuk Bola Sepak Malaysia

Sumareh Malaysia Indonesia 2

Selamat malam pembaca SemuanyaBOLA. Seperti biasa, pada malam Isnin kami akan membentangkan sidang editorial SB yang menyatakan pendirian kami secara kolektif tentang sesuatu isu.

Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, kami tampilkan 10 hajat orang kita untuk bola sepak Malaysia.

Dalam bola sepak, Malaysia mempunyai pelbagai saat pahit dan manis. Satu ketika, kita menjadi pasukan yang digeruni lawan dan ada masanya bola sepak kita kelam kerana isu rasuah yang pernah menghimpit liga tempatan.

Jadi kali ini, editorial akan berbincang mengenai hajat. Hajat apa? Ianya adalah hajat kami terhadap bola sepak Malaysia di masa akan datang.

1. Utamakan sukan, bukan e-sukan

Benar, kami akui yang e-sukan kini sudah semakin meningkat popularitinya dan berkembang. Namun, Kementerian Belia & Sukan (KBS) seharusnya fokus kepada sukan sebenar terlebih dahulu.

Syed Saddiq

KBS seharusnya menjadikan program pembangunan akar umbi dalam sukan bola sepak sebagai agenda kebangsaan.

Mereka boleh mengajak pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pelan Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) untuk sama-sama mengukuhkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

2. Liga bola sepak untuk anak-anak kita

Sudah masanya untuk pihak KBS dan juga Kementerian Pendidikan (KPM) untuk bersatu dalam usaha mewujudkan liga bola sepak yang lebih menyeluruh di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Liga peringkat sebegitu setakat ini hanya disertai oleh Sekolah Sukan dan Sekolah Sukan Negeri sahaja. Kesannya, pelajar dari sekolah lain tidak dapat peluang yang sama untuk menunjukkan kebolehan mereka.

3. Hasilkan lebih penyerang!

Saban tahun, negara mempunyai masalah ketandusan penyerang untuk skuad kebangsaan. Jadi apa yang perlu dilakukan?

Perihal teknikal dalam kejurulatihan akar umbi perlu diseragamkan untuk membolehkan proses melahirkan lebih ramai penyerang tempatan berkualiti tinggi terhasil.

Hal ini merupakan satu tugas yang memerlukan jangka masa yang lama untuk mendapatkan hasil, jadi kesabaran diperlukan dalam usaha mencapai keputusan yang diinginkan.

4. Bola sepak sebagai pilihan rekreasi

Adalah menjadi hajat kami untuk melihat bola sepak menjadi sebuah pilihan utama untuk rekreasi dalam kalangan rakyat dan bukannya dianggap sebagai hiburan sahaja.

Situasi ini mula dilihat di kawasan metropolitan seperti Lembah Klang dengan terhasilnya padang rumput tiruan yang tumbuh mekar ibarat cendawan selepas hujan.

Hasilnya, lebih ramai rakyat dalam bermain bola sepak bersama-sama teman sebagai rekreasi mereka. Oleh itu, diharap lebih banyak padang dapat dibuka di seluruh negara.

Ianya sungguh menghairankan, kerana budaya ini lazimnya dilihat di luar bandar namun ia kini sudah beralih arah ke bandar pula.

5. Berhijrahlah, anak muda!

Diharap pada masa hadapan, ramai pemain muda negara akan lebih berani untuk berhijrah ke luar untuk menimba pengalaman.

Bukan sekadar pengalaman menguji diri beraksi di liga lebih kompetitif dalam diperoleh, mereka turut dapat menaikkan nama mereka sebagai pemain di mata pemain industri bola sepak.

6. Golongan atasan mula tonton Liga Malaysia

Lazimnya, liga tempatan ini hanya diikuti oleh rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana rendah (B40 & M40). Lebih mengecewakan, hanya majoriti pengikut liga kita adalah dari kaum Melayu dan Bumiputera sahaja.

Penyokong Kedah Ultras Kedah
FOTO: Kedah FA

Kaum-kaum lain seperti Cina dan India bukanlah tidak meminati bola sepak. Mereka minat, namun golongan ini lebih gemar menonton Premier League dan liga Eropah yang lain.

Hal yang sama turut dilihat menerusi golongan berpendapatan sederhana tinggi dan juga tinggi. Oleh itu, jalinan erat antara liga tempatan dan juga golongan sebegini perlu diadakan dengan lebih baik untuk memastikan mereka turut bersama-sama mengikuti liga tempatan.

7. Bola sepak sebagai budaya negara

Mentaliti penyokong bola sepak di negara ini majoritinya menganggap liga tempatan sebagai hiburan sahaja dan bukannya budaya. Kerana itulah stadium di negara kita sukar penuh sepanjang musim, apatah lagi ketika pasukan itu berprestasi teruk.

Kami berharap agar mentaliti itu dapat dimatikan dengan lebih ramai pengikut liga tempatan menanggap ia lebih daripada hiburan.

Kita mahu penyokong di negara kita seperti di Britain atau Itali yang dengan rasa cinta menyokong pasukan masing-masing tanpa perlu melakukan perkara luar batasan seperti keganasan.

8. Kelestarian kelab komuniti berterusan

Di Lembah Klang terutamanya, lambakan kelab komuniti wujud di merata tempat dan ianya cukup positif untuk kita semua.

Namun begitu, mereka sering mengalami masalah untuk terus lestari dan banyak kelab komuniti ini terkubur hanya selepas 3 tahun sahaja diwujudkan.

Harapannya agar mereka terus mampu untuk kekal untuk tempoh yang lebih lama kerana kelab komuniti cukup penting peranannya dalam ekosistem bola sepak negara kita.

9. Lebih ramai seperti Hasbullah

Ramai diantara kita yang membesar dengan suara Allahyarham Dato’ Haji Hasbullah Awang sebagai suara bagi Liga Malaysia dan juga sukan-sukan lain.

Allahyarham Hasbullah Awang cumalah pembantu penyiar di RTM sebelum menjadi pengulas tersohor negara. (Gambar: FFT)

Era beliau jelas sudah berakhir selepas pemergiannya, namun kini generasi baharu sudah mula mengambil alih membuka lembaran baharu dalam dunia pengulasan Malaysia.

Izwan Mohd Nor, Abu Bakar Atan dan Stanley Bernard antara nama-nama yang kini menjadi suara Liga Malaysia yang sering anda dengar ketika menonton siaran langsung di iflix atau TV9.

Diharap, lebih ramai lagi pengulas berkualiti dapat dihasilkan di negara kita untuk terus menwarnai halwa telinga kita sepanjang perlawanan berlangsung.

10. Malaysia ke Piala Dunia

Dalam banyak-banyak hajat, inilah hajat tertinggi yang kami dan anda semua harapkan – Malaysia ke Piala Dunia.

Walaupun kita hanyalah sebuah negara kecil, namun ianya tidak salah untuk mempunyai hajat sebegitu kerana untuk berhajat tidak memerlukan sebarang bayaran.

Walaupun begitu, ia memerlukan kerja keras dari semua pihak dari pelbagai peringkat untuk memastikan hajat ini berjaya direalisasikan.

Selamat Hari Malaysia buat semua.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN