Editorial SB: Elak Bolos 45 Minit Pertama, Kita Ada Peluang

Nota editor: Selamat datang ke artikel editorial Semuanya BOLA yang dimana kami akan menetapkan pendirian Sidang Editorial SB mengenai isu semasa bola sepak tempatan.

Artikel ini akan disiarkan secara mingguan pada setiap Isnin jam 8 malam.


Boleh dikatakan Stadium Gelora Bung Karno (GBK) bukanlah gelanggang kegemaran Malaysia. Sejak kali pertama menentang Indonesia di sana pada Sukan Asia 1962, skuad Harimau Malaya kita tewas 12 daripada 18 pertemuan. Kita hanya pernah menang empat kali di sana.

Kali terakhir kita menang di GBK adalah pada Disember 2004 dalam separuh akhir pertama Piala Tiger 2004. Dalam perlawanan tersebut, kita menang 2-1. Penjaringnya? Ya, tepat tekaan anda: Liew Kit Kong.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang kacukan Cina dan India kelahiran Perak itu menjaringkan satu gol pada setiap separuh masa. Salah satunya gol yang barangkali paling terkenal dalam kariernya – tandukan terbang kencang yang menewaskan Hendro Kartiko.

https://youtu.be/fZppcfyXqKk?t=29

Satu-satunya sebab mengapa gol tersebut segar di ingatan kita adalah kerana satu sebab: kita jarang-jarang dapat menewaskan Indonesia di halaman mereka sendiri.

Itulah sebabnya mengapa usai kemenangan skuad negara pada 2004 itu, media kita menjulang-julang Kit Kong sebagai ‘jelmaan Mokhtar Dahari’ – penjaring gol tunggal yang menewaskan Indonesia di GBK pada perlawanan akhir Sukan SEA 1979. Bayangkan betapa jarangnya kita mengalahkan Indonesia di GBK.

Kita tak boleh menyalahkan pemain kita atas kegagalan mereka untuk menang di GBK. Indonesia di GBK adalah Indonesia yang berbeza.

Di luar GBK, mereka boleh ditewaskan. Tetapi di GBK, Indonesia bagaikan arnab Duracell. Mereka tak mengenal erti penat. Tak pernah berhenti lari. Tak pernah berhenti menghambat.

Setiap tenaga yang pemain mereka kerah di GBK adalah hasil sintesis tenaga dan semangat penyokong skuad negara mereka.

penyokong-indonesia-pssi
FOTO: Utusan Malaysia

Apabila menentang pasukan yang ‘dirasuk semangat penyokong’ seperti Indonesia di GBK, taktik biasanya akan ‘ke laut’ sebaik sahaja wisel perlawanan mula ditiup.

Hala tuju perlawanan akan ditentukan oleh kecergasan fizikal, kebagusan teknik, kekuatan mental dan satu lagi faktor yang tidak boleh diabaikan – nasib.

Dalam perlawanan sebegini, kemenangan biasanya akan ditentukan oleh benda-benda yang kecil. Tetapi benda-benda kecil sebeginilah yang membezakan pemenang atau pengalah.

Diet dan rehat cukup mungkin nampak kecil, tetapi penting untuk kecergasan fizikal.

Kesempurnaan mungkin bukan sifat manusia. Tetapi pada perlawanan genting ini teknik siapa yang sempurna, akan menang.

Solat dan meditasi mungkin bukan perkara pertama yang atlet sebut sebagai penyumbang utama prestasi puncak mereka. Tetapi untuk kekal fokus di hadapan lebih 70,000 penyokong tuan rumah yang akan berbuat apa sahaja untuk menganggu tumpuan pemain kita, ia mungkin menjadi penentu kekuatan mental mereka.

Gabungan semua benda-benda kecil ini penting memandangkan Tan Cheng Hoe dijangka akan mengekalkan falsafah bola sepaknya – menyerang menerusi penguasaan bola – menjelang pertemuan menentang Indonesia di GBK pada malam Khamis (5 September 2019) nanti.

Ketua jurulatih Harimau Malaya ini tidak asing dengan Indonesia di GBK. “Indonesia akan mengasak kita habis-habisan pada 20 minit pertama. Mereka akan cari gol awal. Kami kena tenang menyerap asakan mereka,” kata Cheng Hoe.

Ayat terakhir Cheng Hoe – tenang menyerap asakan – itu sememangnya faktor terpenting jika kita mahu pulang dari GBK dengan sekurang-kurangnya satu mata.

Jika persembahan perlawanan persahabatan tempohari menentang Jordan (kalah 0-1) menjadi ukuran, Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin memerlukan sekuriti yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh Nor Azam Azih dan Brendan Gan untuk menjadi lebih tenang.

Indonesia dijangka akan bermain seperti kebiasaan di GBK – direct dan menyerang dengan transisi pantas – untuk memanfaatkan kelajuan Andik Vermansah, Febri Hariyadi, Evan Dimas dan Stefano Lilipaly.

Jadi tekanan sememangnya akan dirasai skuad negara kita sebaik wisel mula perlawanan akan ditiup.

Andai kata kita berjaya mengelak dari bolos dalam masa 45 minit pertama dengan tidak memberi ruang kepada empat pemain di atas termasuk penyerang utama mereka, Beto Goncalves, tekanan akan bertukar pula dari kem Malaysia ke Indonesia.

Apabila tekanan mula dirasai oleh kem Indonesia, ketika inilah peluang kita untuk menunjukkan taring harimau kita. Kita perlu bersikap bijak dan tenang untuk memastikan pelan ini berjaya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN