Quantcast

BERITA

Dato’ Hamidin Optimis Skuad Negara Mampu Rakam Kemenangan Di Jakarta

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),  Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin meluahkan keyakinan terhadap barisan pemain skuad kebangsaan untuk merakamkan kemenangan pada aksi sulung Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia di Jakarta, pada Khamis ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Facebook rasmi FAM itu, Dato’ Haji Hamidin jelas yakin dengan persediaan rapi yang telah dilalui skuad bimbingan Tan Cheng Hoe tersebut.

“Pasukan hakikatnya buat persiapan sejak tahun lepas lagi. Saya ada keyakinan bahawa Harimau Malaya boleh bermula dengan tiga mata.”

“Rekod kita dengan Indonesia juga agak baik, jika dilihat dari pengalaman kita menentang mereka di Sukan SEA dan Kejuaraan AFF. Jadi tidak mustahil untuk kita mencipta kemenangan.”

“Hari ini, mari kita berdoa kepada Tuhan untuk kejayaan pasukan kebangsaan di sana dan supaya perjalanan kita semua dipermudahkan. Bagi saya, pemain hanya perlu fokus pada perlawanan dan jangan hiraukan mengenai perkara seperti keselamatan umpamanya.”

“Dari segi keselamatan semuanya sudah terjamin, malah pasukan keselamatan bersama PDRM sudahpun kesana hari ini untuk pemantauan,” jelas Hamidin bercakap ketika Majlis Doa Selamat dan Bacaan Yassin bersama skuad kebangsaan yang diadakan di kediamannya.

Selepas aksi di Stadium Gelora Bung Karno, skuad negara akan  berhadapan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk perlawanan kedua di laman sendiri. Selain Indonesia dan UAE, skuad negara turut diundi bersama-sama Thailand dan Vietnam dalam kumpulan G.

Kredit foto: FAM