Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) optimis mampu mengikuti sepenuhnya Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang bakal dilaksanakan oleh Malaysian Football League (MFL) musim depan.
Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, selain mampu mengawal perbelanjaan pasukan, pengurusan juga akan lebih berhati-hati atau berfikir dua kali sebelum membuat tawaran kepada mana-mana pemain yang mereka hendaki.
Dalam masa sama, beliau memuji mekanisma ECP ini yang dijangka mampu mengawal kes-kes tunggakan gaji yang sentiasa dihadapi kebanyakan pasukan.
“Saya memang suka dengan apa yang bakal dilakukan oleh MFL ini, kerana mekanisme ini secara jelas akan mengawal kewangan pasukan agar mereka tidak akan berbelanja lebih daripada bajet.
“Selepas mendengar penjelasan MFL, saya juga percaya ini langkah terbaik mengawal gaji siling pemain sebelum mendapatkan mana-mana pemain yang mereka mahukan.
“Bila nak buat perjanjian dengan pemain, kami sudah ada jumlah tertentu, sebagai contoh mungkin RM 10,000 sahaja dan kita akan berbelanja mengikut kaedah yang betul.
“Sebelum ini bila tiada langkah seperti ini, kita hanya tengok kemampuan secara rambang dan bila itu berlaku,hendak bayar gaji tetapi tidak ada duit, ” katanya.
MFL dan perunding ECP, PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bhd (PwC Malaysia) hari ini mengadakan taklimat dengan KAFA bagi mendapatkan maklum balas mengenai ECP selepas sesi taklimat pertama dengan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.
Mengenai cabaran yang dijangka Kelantan bagi memenuhi kriteria ditetapkan dalam ECP, Husin berasakan situasi ini dijangka memberikan mereka lebih motivasi bagi memburu lebih banyak penaja pada musim depan.
“Bukan sahaja Kelantan tetapi semua kelab kena kerja keras untuk dapatkan modal kerana berdasarkan penerangan, setiap pasukan kena ada peratus tertentu dalam perbelanjaan membayar gaji pemain.
“Jadi pengurusan pasukan kena kerja lebih keras untuk dapatkan modal bagi memenuhi sumber kewangan kerana banyak perkara lain perlu dibelanjakan dan tidak tertumpu kepada gaji pemain semata-mata, ” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan agar MFL memberikan sedikit kelonggaran kepada KAFA dalam menghantar bajet tahunan musim depan agar mereka dapat memberikan satu laporan yang lebih lengkap.
“Cadangan saya mungkin pada penghujung Oktober ini adalah tempoh yang paling sesuai kerana mampu beri peluang kepada penaja-penaja memberikan maklum balas kepada kami.
“Sekiranya penaja sudah ada jawapan, barulah kami boleh bagi meletakkan satu jumlah bajet yang lebih realistik kepada MFL mengenai bajet pada 2020 dan memudahkan semua pihak, ” katanya.