Berita baik buat peminat bola sepak negara. Sempena menyambut Hari Kebangsaan tahun ini, Teater Muzikal Ola Bola yang sebelum ini pernah dipentaskan di Istana Budaya telah dijadualkan untuk dipersembahkan secara percuma di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Pahang.
Puan Sri Tiara Jacquelina yang merupakan pengarah serta penerbit teater ini ketika ditemui dalam sidang media di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur memaklumkan, pementasan teater ini dibuat di luar Kuala Lumpur disebabkan keluhan peminat yang memberi maklum balas bahawa mereka tidak dapat menyaksikan persembahan teater muzikal itu kerana faktor lokasi yang jauh serta tidak berkemampuan untuk membeli tiket yang agak mahal.
Oleh yang demikian, selepas mendapatkan tajaan dan kerjasama daripada beberapa syarikat korporat, agensi kerajaan serta kerajaan negeri yang terlibat, syarikat Enfiniti (M) Sdn Bhd berpeluang untuk membuat pementasan teater itu di luar ibu negara. Untuk rekod, Ola Bola The Musical berjaya menggondol lapan daripada 12 kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Seni Boh Cameronian pada tahun lepas.
Ola Bola The Musical mula dipertontonkan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Februari 2018 hasil adaptasi dari filem Ola Bola tahun 2016 arahan Chiu Keng Guan. Selepas mendapat sambutan hangat dan menggalakkan, teater ini kembali menemui peminat setia mereka pada Februari tahun ini dan ditonton oleh tetamu istimewa iaitu Perdana Menteri, Tun Dr. Mohathir Mohamad serta isterinya Tun Dr. Hasmah Mohd Ali.
Diilhamkan oleh kejayaan pasukan bola sepak Malaysia melangkah ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, teater ini sarat dengan mesej dan pengajaran untuk memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan di antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Jelajah Ola Bola Merdeka menampilkan barisan pelakon asal filem Ola Bola seperti Luqman Hafidz, Lim Jian Wen dan Brian Chan selain menampilkan Iedil Putra, Tony Eusoff, Altimet dan Nabila Huda selaku artis jemputan.
Oleh yang demikian, untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, pementasan teater ini diharapkan dapat meningkatkan lagi semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.
Peminat di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuantan berpeluang untuk menonton persembahan versi showcase selama sejam dengan tema Ola Bola I Cover You yang memfokuskan perjalanan jatuh bangun Harimau Malaya di pentas antarabangsa. Manakala pementasan penuh yang akan berlangsung selama dua setengah jam – seperti mana di Istana Budaya – hanya dibuat di Kuching, Sarawak.
Berikut adalah jadual Jelajah Ola Bola Merdeka yang bakal dipentaskan:-
31 Ogos 2019: Majestic Theatre, Pulau Pinang
6 -8 September 2019: Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak
16 September 2019: Kompleks JKKN, Sabah
21 September 2019: Auditorium Darul Makmur RTM, Pahang
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai teater muzikal ini boleh dirujuk di laman web www.olabolamusical.com serta media sosial @enfiniti.my