Pengendali Selangor, B. Satiananthan nyata berpuas hati dengan aksi anak buahnya selepas berjaya menundukkan Melaka United 1-0 pada aksi kedua saingan kumpulan D Piala Malaysia 2019, malam tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat itu menyaksikan gol sendiri Jang Suk-Won pada minit ke-61 sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat Selangor dalam kancah piala berprestij ini.
Disiplin ketika bertahan yang ditunjukkan anak buahnya menjadi antara tunjang kepada kejayaan memperoleh tiga mata tersebut.
”Terlebih dahulu saya nak ucapkan terima kasih kerana pemain tak dibolosi walaupun tekanan yang kuat daripada Melaka pada 15 minit terakhir.”
”Tetapi keseluruhan saya nampak pemain-pemain kita mengawal permainan. Selepas kita jaringkan gol, inilah tekanan yang kadang-kadang menyebabkan kami selalu dibolosi.”
”Kita berikan banyak sepakan penjuru dan sepakan percuma. Dimana Melaka amat berbahaya. Aksi pada 10 minit terakhir, saya perlu berikan kredit kepada pemain.”
”Kerana gol yang sepatutnya dijaringkan oleh Melaka, kita (para pemain Selangor) dapat selamatkan, kita mengeluarkan bola, kita melakukan terjahan.”
”Keseluruhannya saya berpuas hati dengan kemenangan, bukan senang nk datang ke Melaka dan menang,” ujar Satiananthan yang bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.
Pengendali berusia 61 tahun itu juga melihat peningkatan yang dipamerkan anak buahnya berbanding ketika aksi minggu lalu di laman sendiri.
”Saya juga berpuas hati dengan permainan sesetengah pemain yang tidak begitu baik ketika bertemu Felda tetapi hari ini mereka bangkit semula.”
”Jadi saya sebagai jurulatih, sebelum bertemu PDRM kita perlu buat kerja kita dari segi bertahan. Keseluruhannya saya merasakan kita layak untuk mendapat tiga mata.”
Aksi seterusnya, Selangor bakal melayani kunjungan PDRM di Stadium Shah Alam pada 18 Ogos nanti.
Kredit foto: Suffi Sahar I Tigers Super Sports