Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Nafuzi Zain Bangga Disiplin Ditampilkan Barisan Pemain Terengganu FC

Pengendali sementara Terengganu FC, Nafuzi Zain memuji disiplin yang ditunjukkan barisan pemainnya dalam melakar kemenangan bermakna 2-0 keatas Kedah di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Dua jaringan Terengganu FC itu dijaringkan oleh peledak berbisa mereka,  Tchetche Kipre pada minit ke-66 dan 86.

Lebih manis kemenangan itu diraih walaupun skuad penyu terpaksa beraksi dengan sepuluh main pada keseluruhan aksi separuh masa kedua selepas penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah Bin Razali diperintah keluar padang akibat kekasaran dilakukannya terhadap Farhan Roslan.

Bercakap ketika sidang media selepas perlawanan, Nafuzi jelas bangga melihat corak berdisiplin dan semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya.

”Memang saya mengetahui bermain di Alor Setar bukannya satu perkara yang mudah dan rekod Kedah di tempat sendiri juga lebih baik berbanding di tempat lawan.”

”Kedah baru menjuarai Piala FA dan memenangi perlawanan pertama Piala Malaysia di tempat lawan berdepan Negeri Sembilan dengan moral dan keyakinan yang tinggi.”

”Walaupun bermain dengan 10 pemain, komitmen yang pemain saya tunjukkan, jadi saya sangat berbangga dengan disiplin, fokus dan bermain dengan kualiti yang pasukan kami miliki.”

”Saya tahu Kedah lebih baik dari segi fizikal berbanding Terengganu. Kedah lebih agresif dan juga memiliki pemain muda yang berkualiti. Bukan tugas mudah tetapi saya berbangga dengan para pemain saya.”

”Kalau kita fikirkan misi mustahil untuk bermain dengan 10 pemain dengan tempoh yang panjang tetapi Alhamdulillah rezeki berpihak kepada Terengganu.”

Dalam pada itu, kecederaan pemain yang melanda pasukan jelas tidak mengganggu perancangan Nafuzi pada perlawanan kedua kumpulan B itu.

”Dari segi pertahanan, disiplin sangat penting termasuk aspek-aspek yang kita perlukan. Saya tahu walaupun pasukan saya dengan ketiadaan ramai pemain yang cedera tetapi pemain yang diberikan peluang tunjukkan mereka mampu untuk bermain.”

”Satu pendedahan yang baik untuk pemain tersebut dan saya sendiri bagi menghadapi perlawanan seterusnya. Memang kita bermain dengan penuh disiplin, komitmen dan beraksi dengan penuh sabar,” ujar Nafuzi lagi.

Kredit foto: MFL