Pahang terus cemerlang mencatatkan kemenangan kedua dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia 2019 apabila menundukkan juara bertahan, Perak 3-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Turun dengan misi membalas dendam kekecewaan aksi separuh akhir Shopee Piala FA tempoh hari, Pahang kelihatan lebih garang pada perlawanan ini.
Namun, skuad bimbingan Dollah Salleh itu memerlukan 40 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain import, Herold Goulon.
Jaringan tersebut berpunca daripada tandukan Goulon di hadapan pintu gol hasil sepakan percuma diambil Nor Azam Azih yang mengelirukan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam.
Aksi babak bersambung memperlihatkan Pahang terus menguasai permainan dan berjaya menambah dua lagi jaringan.
Pemain import Indonesia, Saddil Ramdani menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-68 selepas beliau menolak masuk dengan mudah hantaran dilakukan Mohamadou Sumareh yang melakukan larian pantas ke kubu Perak.
Perak cuba untuk mengurangkan defisit jaringan namun, terus hampa apabila gerakan yang cuba dijelmakan gagal membuahkan hasil diharapkan.
Lazarus Kaimbi kemudiannya menutup terus peluang Perak untuk bangkit setelah meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-82.
Penyerang kelahiran Namibia itu cemerlang melakukan gerakan solo bagi melepasi kawalan pertahanan yang kemudiannya berjaya menewaskan Hafizul Hakim untuk perlawanan berkesudahan dengan keputusan 3-0 buat Pahang.
Dengan kemenangan kedua ini, Pahang mengungguli tangga teratas kumpulan C selepas mengumpul enam mata.
Kredit foto: Malaysian Football League