Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Jaringan Sendiri Jang Suk-won Hadiahkan Selangor 3 Mata

Gol sendiri Jang Suk-won selepas sejam aksi berlangsung menghadiahkan kemenangan sulung dan 3 mata penuh buat Selangor menewaskan Melaka United di Stadium Hang Jebat dalam aksi kedua Kumpulan D, Piala Malaysia 2019, sebentar tadi.

Biarpun Gergasi Merah ditekan bertubi-tubi oleh tuan rumah pada 15 minit terakhir, tiada gol mampu dihasilkan oleh Melaka United menerusi percubaan-percubaan Deevan Raj dan Luka Milunovic.

Permainan yang seimbang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan di babak pertama dengan penguasaan bola dimiliki Selangor namun benteng Melaka United sedikit sebanyak telah menyukarkan pelawat untuk membuat percubaan ke gawang tuan rumah.

Sebagaimana Melaka United, kubu Gergasi Merah juga dilihat kukuh ketika menerima asakan. Berbanding Solehin Mamat, Khairulazhan Khalid tampak lebih banyak berehat di gawangnya. Ini menyebabkan perlawanan buntu jaringan pada babak pertama.

Hanya tiga peluang terbaik dimiliki Selangor untuk menjaringkan gol pembukaan dengan peluang pertama menerusi percubaan lemah K. Sarkunan yang berjaya diselamatkan oleh Solehin Mamat.

K. Sarkunan yang tidak beraksi pada perlawanan pertama berhasil melepaskan percubaan daripada sisi kiri gawang namun Solehin Mamat berjaya untuk menangkap kemas percubaan lemah itu.

Sandro da Silva pula memiliki dua peluang di dalam kawasan gol tuan rumah selepas itu namun ianya disia-siakan oleh pemain kelahiran Brazil itu dengan percubaan tersasar. Paling hampir adalah hasil gerakan Syazwan Zainon dari sebelah sayap kiri sebelum menghantar bola kepada Sandro da Silva.

Sementara untuk Melaka United pula, hanya satu percubaan berjaya dilakukan sepanjang 45 minit pertama dengan sepakan percuma Nazrin Nawi yang gagal disambut oleh Dominik Balic.

Di awal babak kedua menyaksikan tuan rumah mempamerkan perubahan daripada segi kawalan bola apabila berjaya melakukan lebih tekanan dan beberapa kali telah memerangkap benteng pelawat antaranya percubaan kaki kiri Nazrin Nawi di minit ke-52.

Asakan bertubi-tubi cuba dicaturkan oleh skuad kendalian Zainal Abidin Hassan menerusi gandingan Nazrin Nawi, Patrick Reichelt dan Safiq Rahim namun ianya masih gagal menguji sepenuhnya Khairulazhan Khalid sebelum asakan bertukar tangan.

Minit ke-61,  Selangor berjaya memecah kebuntuan apabila percubaan Endrick dos Santos terkena Jang Suk-won berjaya menembusi gawang Melaka United. Ia adalah hasil kombinasi gerakan di bahagian kiri antara Syazwan Zainon dan K. Prabakaran.

10 minit kemudian, Syazwan Zainon hampir memberikan gol kedua buat pelawat dengan sentuhan lambungnya selepas menerima hantaran jarak jauh daripada kawasan defensive third Selangor, namun ianya sedikit tersasar biarpun Solehin Mamat tertewas.

Pemain gantian, Deevan Raj yang menggantikan Ramzi Haziq telah berjaya membawa angin perubahan kepada jentera sayap Melaka United dengan dua percubaan deras kaki kirinya dan salah satu daripadanya berjaya diselamatkan oleh Khairulazhan Khalid.

15 minit terakhir aksi menyaksikan skuad Hang Tuah sangat agresif dalam memburu gol penyamaan menerusi beberapa percubaan ke gawang Gergasi Merah namun ketumpulan sentuhan akhir dan kekentalan benteng Selangor mengecewakan lawan.

Peluang terakhir Melaka United hadir di minit ke-90 menerusi tandukan tersasar Luka Milunovic selepas menerima hantaran lintang Nazrin Nawi daripada bahagian kanan gawang Selangor.

Hasil kemenangan ini membolehkan Selangor menaiki takhta Kumpulan D dengan mengumpul 4 mata sementara Melaka United turun ke tempat kedua dengan dibezakan satu mata sahaja.

Melaka United: Solehin Mamat (PG), Jang Sukwon (86′ Faizal Abu Bakar), Shukor Adan (K), Faris Shah Rosli, Wan Amirul Afiq, Safiq Rahim, Dominik Balic, Patrick Reichelt, Nazrin Nawi, Ramzi Haziq (46′ Deevan Raj), Luka Milunovic

Selangor: Khairulazhan Khalid (PG), Taylor Regan (K), Michal Nguyen, Syahmi Safari, K. Prabakaran, K. Sarkunan (83′ Latif Suhaimi), Sandro da Silva, Endrick dos Santos, Faiz Nasir (86′ Sean Selvaraj), Syazwan Zainon (74′ Amri Yahyah), Ifedayo Olusegun

Kredit foto: Melaka United SA