PJ City FC hampir untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) namun akhirnya terpaksa tunduk tewas 2-4 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos dalam aksi kedua Kumpulan B, Piala Malaysia 2019, sebentar tadi.
Anak didik K. Devan bangkit meledak dua gol mengikat kedudukan namun reaksi segera Harimau Selatan yang tidak menunggu lama berjaya merobek benteng rapuh The Phoenix dua kali selepas itu meranapkan impian pelawat untuk meneruskan kebangkitan.
Seawal minit ke-6, JDT sudah di depan apabila pemain sayap, Safawi Rasid berjaya merembat masuk gol pertama daripada percubaan pertamanya ke gawang yang dikawal Kalamullah Al-Hafiz – gol keduanya di saingan Piala Malaysia kali ini.
Selepas gol tersebut, JDT berterusan mengasak pelawat namun barisan penyerang yang diketuai Diogo gagal menterjemahkan peluang untuk gol kedua tuan rumah selain kecemerlangan Kalamullah Al-Hafiz untuk menafikan percubaan lawan.
Antara peluang terbaik buat Harimau Selatan adalah menerusi percubaan Mauricio di minit ke-15 berpunca daripada sepakan percuma namun penjaga gawang PJ City cemerlang menafikannya.
Diogo pula terlepas dua peluang keemasan di depan gawang pelawat iaitu pada minit ke-17 dan ke-21 apabila rembatannya sekadar tersasar sebelum Gonzalo Cabrera pula gagal melepaskan rembatan biarpun sudah berada di depan gol lawan di minit ke-29.
JDT meneruskan penguasaan mereka sehingga tamat aksi babak pertama dengan The Phoenix tampak tenggelam tanpa berjaya melakukan sebarang percubaan kepada Farizal Marlias. Aksi baik Kalamullah Al-Hafiz banyak menyelamatkan pelawat.
Diogo akhirnya berjaya menebus kekecewaannya di babak pertama seawal babak kedua bermula apabila berhasil menjaringkan gol mudah selepas Kalamullah Al-Hafiz gagal menangkap kemas bola yang dihantar oleh Afiq Fazail dari sisi kiri gawang PJ City.
The Phoenix tampil di babak kedua dengan menggunakan formasi bek bertiga berhasil untuk mengasak defensive third tuan rumah menerusi beberapa pergerakan namun gagal menghasilkan gol.
Minit ke-59, kesilapan komunikasi antara Aidil Zafuan dan Farizal Marlias dihukum oleh Washington Brandao yang berjaya mencuri bola tersebut seterusnya melepaskan rembatan untuk mengegar jaring gawang JDT untuk PJ City merapatkan jurang gol.
Kebangkitan PJ City untuk memburu gol penyamaan diteruskan dengan dua minit kemudian Farizal Marlias telah dipaksa untuk menepis percubaan deras jarak jauh oleh Washington Brandao.
Akhirnya, R, Barathkumar berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-70 selepas Harris Harun melakukan kesilapan melepaskan penguasaan bola kepada Bae Boem-gun sebelum Washington Brandao memecah blok pertahanan JDT seterusnya melorongkan bola kepada R. Barathkumar yang dibiarkan berseorangan.
Namun, ianya tidak bertahan lama apabila Diogo berjaya meletak Harimau Selatan kembali di depan dua minit kemudian menerusi sentuhan mudah selepas menerima hantaran kemas Safawi Rasid – gol keduanya malam ini dan ke-15 sepanjang musim ini.
Benteng PJ City terus rapuh dan Gonzalo Cabrera menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol ke-4 buat tuan rumah selepas menerima hantaran Leandro Velazquez di sebelah kanan gawang sebelum berjaya menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz.
Kemenangan kedua yang direkodkan oleh JDT di halaman sendiri ini meletakkan mereka sebagai pendahulu Kumpulan B dengan kedudukan PJ City boleh digugat sama ada oleh UiTM FC atau PKNP FC yang bakal bertembung pada esok malam.
JDT: Farizal Marlias (PG), Mauricio, Aidil Zafuan, S. Kunanlan, Corbin Ong, Afiq Fazail (84′ Syamer Kutty Abba), Harris Harun (K), Leandro Velazquez, Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera (88′ Akhyar Rashid), Diogo Luis Santo
PJ City FC: Kalamullah Al-Hafiz (PG), S. Subramaniam (K), Elizeu Araujo, Annas Rahmat, Aizulridwan Razali, Bae Boem-geun (85′ Safee Sali), P Rajes (13′ S. Veenod), R. Barathkumar (74′ K. Satish), Pedro Henrique, Washington Brandao, Serginho
Kredit Featured Image: JST