Quantcast

BERITA

Daniel Alves Sertai Sao Paulo, Intai Peluang Beraksi Di Piala Dunia 2022

Diperkenalkan oleh kelab barunya pada Selasa lepas, Daniel Alves disambut secara besar-besaran oleh penyokong Sao Paulo di Estadio do Morumbi bagaikan seorang wira.

Beliau yang dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah menjelaskan keputusan untuk menyertai pasukan gergasi Brazil itu adalah untuk meraih lebih banyak kejayaan serta ‘mencipta sejarah’ bersama kelab yang telah 21 kali menjuarai liga utama Brazil itu.

Alves kembali bermain di negara asalnya buat kali pertama sejak meninggalkan pasukan Bahia pada 2002. Pemain berusia 36 tahun itu bersetuju menandatangani kontrak untuk bersama Tricolour sehingga tahun 2022.

“Saya datang ke Sao Paulo untuk bekerja, bukan semata-mata untuk mengakhiri karier,” kata Alves dalam sidang media selepas diperkenalkan oleh pihak kelab.

“Saya masih ada impian yang mahu dikejar dan salah satunya adalah mencipta sejarah bersama Sao Paulo.” kata Alves.

Alves menghabiskan 17 tahun di Eropah dengan rekod cemerlang. 14 tahun di Sepanyol bersama Sevilla dan Barcelona, beliau menjulang lima kejuaraan Piala Raja Sepanyol, lima Piala Super Sepanyol, enam Piala La Liga, dua Piala Liga Europa, tiga Piala Liga Juara-Juara Eropah, empat Piala Super UEFA dan tiga Piala Kelab Dunia FIFA.

Selain itu, karier beliau bersama Juventus dan Paris Saint-Germain juga diwarnai dengan kejayaan menjuarai liga dan lain-lain kejohanan domestik di Itali dan Perancis.

Menjelaskan keputusannya untuk menyertai Sao Paulo, Alves mendedahkan beliau langsung tidak memaklumkan kepada Tite (Jurulatih Brazil) tentang kepulangan ke negara kelahirannya. Keinginan besar untuk beraksi di kejohanan Piala Dunia di Qatar tiga tahun lagi sentiasa bermain di fikirannya.

Hasrat beliau itu tidak boleh dianggap mustahil. Dengan usia yang boleh dikategorikan sebagai ‘veteran’ dan sepatutnya bersedia untuk menggantung but, Alves membuktikan usia hanyalah sekadar angka apabila menjadi watak utama dalam membantu pasukan Brazil menjulang Copa America di halaman sendiri. Malah beliau telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.

Alves akan berusia 39 tahun apabila Piala Dunia 2022 membuka tirai di Qatar. Namun buat masa ini, tumpuan utama beliau adalah untuk membantu kelab berkenaan merampas takhta liga yang kini diterajui oleh Santos dengan 32 mata selepas melalui 13 perlawanan.

Sao Paulo kini berada di kedudukan kelima, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, namun mempunyai kelebihan satu perlawanan dan berpeluang untuk merapatkan jurang mata apabila kedua-dua pasukan gergasi itu akan bertemu dalam perlawanan liga Sabtu ini.