Pengendali PJ City FC, K. Devan mengingatkan kepada pemainnya untuk lebih klinikal dengan peluang yang diperolehi dan mengelak memberikan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sepakan percuma berdekatan kawasan gol dalam aksi kedua Piala Malaysia 2019.
PJ City akan berdepan juara Liga Super 2019, JDT di Stadium Dato’ Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada malam ini. Hadir ke laman lawan, K. Devan menyatakan memperolehi 1 mata sudah cukup buatnya.
“Kita perlu bermain seperti biasa. Kita mesti memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki dan berhenti memberikan sepakan percuma berdekatan kawasan berbahaya kita,” ujarnya kepada The Star.
“Atas kertas mereka adalah pasukan pilihan. Kita telah berjaya menewaskan mereka baru-baru ini tetapi Piala Malaysia adalah pertandingan yang berbeza dan motivasinya juga lain.
“Kemenangan itu melonjak keyakinan kita. Pemain kita sudah tahu apa yang mampu mereka lakukan jika mereka fokus,” jelasnya lagi yang sudah dua kali berjaya menewaskan Harimau Selatan.
Kali pertama adalah pada saingan Piala Malaysia 2018 di mana mereka berjaya menewaskan JDT 2-1 dan terbaru adalah dalam aksi Liga Super 2019, The Phoenix menang 1-0, juga di Larkin.
Malah, kemenangan yang diraih baru-baru itu telah menamatkan rekod 75 perlawanan tanpa kalah JDT di laman sendiri sejak April 2012. Ia juga satu-satunya kekalahan JDT untuk musim ini.
“Saya tidak rasa mereka mahu tewas kepada kita sekali lagi. Kita dalam situasi yang sukar ketika ini. Meraih satu mata daripada perlawanan ini sudah cukup baik buat kita,” tambahnya lagi.
Memetik kenyataan K. Devan di Berita Harian pula, PJ City akan merencana beberapa strategi untuk berdepan lawannya itu.
“Mungkin dari segi idea utama tidak akan banyak berubah, kita ada strategi tertentu dalam kawasan padang,” katanya.
“Dari segi corak permainan kita masih akan sama, tetapi dalam bola sepak setiap perlawanan itu berbeza. Sebab kita sudah buat dua kejutan (mengalahkan JDT), tetapi untuk kali ketiga saya rasa ia bukan mudah untuk mengatasi pasukan itu.
“Dari segi formasi sama, tetapi mungkin kita perlu atur strategi mengikut kekuatan JDT,” ulasnya mengenai perancangannya.