Quantcast

BERITA

Zidane Sisih Rodrygo & Kubo Dari Skuad Utama Real Madrid

Pengendali Real Madrid Castilla, Raul akan bertanggungjawab untuk memantau dua pemain muda, Rodrygo dan Takefusa Kubo buat masa ini. Perkara ini setelah kedua-dua pemain tersebut terpaksa disisihkan oleh Zinedine Zidane dari skuad utama Los Blancos yang akan terbang ke Austria untuk perlawanan menentang Red Bull Salzburg.

Buat masa ini ia dilihat sebagai perancangan jangka masa panjang oleh Real Madrid untuk kedua-dua pemain tersebut sehingga keadaan memerlukan untuk memanggil mereka semula ke skuad utama.

Keputusan tersebut bermakna Raul boleh menurunkan kedua-dua pemain untuk perlawanan persahabatan menentang Alcorcon di Estadio Alfredo Di Stefano di Valdebebas untuk pasukan Real Madrid Castilla.

Buat masa ini, pelan terhadap Rodrygo dilihat mirip kepada apa yang dilalui oleh Vinicius Junior sebelum ini. Beliau akan berlatih bersama skuad utama dan beraksi bersama skuad Castilla sehingga Zidane berpendapat ianya masa yang sesuai untuk pemain tersebut kembali menyertai pasukan utama.

Namun demikian, kes Kubo dilihat berbeza. Walaupun menyerlah sepanjang latihan pra musim, pemain dari Jepun itu masih tidak mendapat tempat di dalam skuad utama, dan harus menantikan kekosongan untuk berbuat demikian.

Rodrygo sudah didaftarkan sebagai pemain terakhir untuk memenuhi slot sebagai pemain bukan kelahiran dari kesatuan eropah, yang sebelum ini diisi oleh Fede Valverde – kini sudah memperolehi kewarganegaraan Sepanyol.

Ini menyebabkan Kubo harus bersabar untuk menanti giliran beliau. Buat masa ini harapan untuk melihat Kubo beraksi di La Liga belum lagi boleh direalisasikan.