MFL: Kenyataan PFAM Tidak Tepat, Semua Pihak Sedang Berusaha Atasi Masalah Tunggakan Gaji

MFL

Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail berkenaan permasalahan tunggakan gaji terus menjadi tumpuan.

Jika sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menyelar kenyataan tersebut, kali ini giliran Malaysian Football League pula tampil ke hadapan memberikan penjelasan.

Langkah ini bertepatan kerana isu ini sudah pasti berkait rapat dengan MFL selaku badan penganjur liga bola sepak tempatan.

MFL dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi laman sesawang rasmi yang bertajuk ‘Isu Tunggakan Gaji Perlu Penyelesaian Bersama’, mendedahkan bahawa pendedahan yang dilakukan Izham Ismail itu adalah sebagai laporan yang tidak tepat.

ISU TUNGGAKAN GAJI PERLU PENYELESAIAN BERSAMA

Malaysian Football League (MFL) ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Izham Ismail bertajuk ‘BALA RM6.4 JUTA’ berkaitan tunggakan gaji pemain adalah satu laporan tidak tepat.

Selain nilai jumlah hutang dan fakta mengenai pasukan terbabit tidak tepat seperti yang disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam, kenyataan Izham yang menyelar industri bola sepak tanah air sudah tenat dan tidak mapan untuk bergerak sebagai satu industri adalah tuduhan liar tanpa melihat usaha ramai pihak untuk memperbetulkan kelemahan yang ada.

Memang diakui isu tunggakan gaji pemain bukan sesuatu yang baharu namun MFL sebagai badan pentadbir Liga Malaysia sentiasa berusaha keras untuk memperbaiki proses atau sistem tertentu dan bukannya sekadar menunding jari kepada mana-mana pihak tanpa mengemukakan jalan penyelesaian.

Untuk makluman, antara langkah MFL dalam usaha membendung masalah hutang ini adalah dengan pelaksanaan peraturan kawalan ekonomi pada musim depan.

Peraturan ini telah digunapakai di Sepanyol oleh LaLiga dan di awal pelaksanaannya pada 2012, LaLiga sendiri berdepan masalah hutang keseluruhan melebihi €600 juta (RM2.8 billion) termasuk €90 juta (RM422.87 juta) bagi tunggakan gaji pemain.

Dengan nilai jumlah hutang yang lebih besar ditanggung LaLiga berbanding apa yang berlaku dalam kancah bola sepak tempatan, adakah LaLiga berdepan industri bola sepak yang tenat dan tidak boleh berkembang?

Jawapannya adalah tidak kerana apa yang diperlukan disini adalah perlaksanaan sistem yang betul, tempoh masa dan kerjasama semua pihak.

Ini terbukti apabila LaLiga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang tunggakan gaji sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 menjadi sifar pada 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.

Jika sebelum itu beberapa pasukan daripada 42 kelab LaLiga berdepan status bankrap tetapi dengan implikasi peraturan kawalan ekonomi menyaksikan mereka berjaya menyelesaikan hutang dan berbelanja mengikut kewangan mereka.

Menerusi peraturan kawalan ekonomi LaLiga itu juga menyaksikan kesemua 340 kes hutang pada 2012 selesai dalam tempoh lima tahun.

Justeru, MFL optimis bahawa peraturan kawalan ekonomi dapat membantu pasukan tempatan dalam memahami peraturan dan menimba ilmu baharu dalam pengurusan kewangan.

Selain itu, MFL turut bertindak membayar tunggakan gaji pemain menerusi pemotongan pendapatan hak penyiaran termasuk musim ini ke atas beberapa pasukan seperti yang diputuskan oleh FAM.

Kesimpulannya, semua pihak sedang berusaha dalam memastikan isu-isu berkaitan masalah tunggakan gaji pemain dapat diatasi tetapi ia tidak boleh diselesaikan dalam tempoh jangka masa pendek.

Namun jika ada mana-mana pihak termasuk PFAM mahu mensensasikan isu ini atau menarik perhatian ramai pihak biarpun fakta itu sendiri tidak betul selepas dijelaskan oleh FAM, apakah yang akan terjadi terhadap rancangan-rancangan sedia ada serta usaha semua pihak bagi menambah baik kelemahan ini?

Penyelesaian dalam isu ini mengambil masa dan LaLiga sendiri terpaksa mengambil masa selama lima tahun dalam usaha mengatasi masalah isu tunggakan gaji pemain.

Jadi, kita tidak boleh mengatakan dengan hanya memiliki idea ia mampu menyelesaikan segala masalah dan berubah dalam sekelip mata.

Apa yang pasti, semua pihak harus mempunyai daya usaha dan perancangan untuk berjaya.

Justeru, Peta Hala Tuju FAM, F30 dan Next50 Strategic Blueprint MFL jelas satu perkara relevan dan penting bagi memastikan perancangan jangka masa panjang lebih stabil.

Kepada pihak yang mempersoalkan perancangan F30 dan Next50, adakah mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk mengatasi masalah atau hanya tahu mengkritik tanpa mahu membantu.

Jadi tidak perlu bertindak melulu dalam membuat kenyataan untuk menidakkan sebarang usaha yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan pada masa akan datang oleh FAM dan MFL demi kebaikan bersama.

Rumusan

Peminat bola sepak tanah air telah dihidangkan dengan penjelasan dan kenyataan berfakta daripada FAM, MFL dan PFAM berhubung dengan pertikaian ini.

Bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, diharapkan segalanya dapat diselesaikan dengan baik.

Perkara asasnya kita pasti tidak mahu para pemain menjadi mangsa keculasan sesetengah persatuan bola sepak dalam membayar gaji selepas segala kudrat dan usaha yang telah dicurahkan oleh mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN