Selangor keciciran 2 mata berharga dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2019 untuk kumpulan D. Ini apabila mereka melepaskan 2 gol pendahuluan, dengan diikat oleh Felda United 2-2.
Selangor di hadapan pada minit ke-33 menerusi gol cantik Syazwan Zainon. 7 minit kemudian giliran Ifedayo meledak gol. Kedua-dua gol itu menerusi permainan berpasukan yang cantik oleh Selangor.
Sebelum wisel rehat ditiup, Felda United merapatkan jurang gol menerusi Christie Jayaseelan pada minit le-42, ataupun hanya 2 minit selepas gol Ifedayo.
Pada separuh masa kedua, Selangor hilang rentak dan membenarkan Felda United menaikkan tempo permainan mereka. Hasilnya pada minit ke-85, Khairul Amri meledak gol penyamaan untuk Felda United.
Pengendali Selangor, B. Sathianathan memberikan sedikit ulasan tentang prestasi para pemainnya. Antara isu yang digariskan adalah isu produk akhir dan juga disiplin para pemain.
Selain itu, Sathianathan juga menganggap Felda adalah pasukan yang boleh menang perlawanan ini, terutama pada 5 minit terakhir dan masa kecederaan. Ini kerana Selangor telah kehilangan sentuhan mereka dalam perlawanan ini.
Sathianathan bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, berkata: “Kita mengawal [perlawanan] pada 70 minit pertama.”
“[Namun] selepas itu, dengan, separuh masa kedua, banyak kita menyerang. Tetapi hantaran-hantaran akhir, kita gagal melakukannya dengan baik, dan selepas itu dia [Felda United] melakukan serangan balas.”
“Dan pada 5 minit terakhir perlawanan, dalam masa kecederaan, saya rasa, Felda United boleh [mampu] menang perlawanan ini.”
“Disiplin kita memang kurang. Kita kerap bola di kawasan tengah. Dan kita kena serangan balas, kita kena [hukum] dengan 2 gol tersebut. 1 daripada sepakan penjuru dan 1 lagi daripada penalti.”
Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil meghargai kesungguhan para anak buahnya yang bangkit melawan pada separuh masa kedua.
“Saya rasa kita lawan balik pada separuh masa kedua. ‘Turning point’ adalah ketika kita menjaringkan gol menerusi sepakan penjuru pada minit akhir separuh masa pertama.”
“Itu membuatkan kita lebih bermotivasi untuk bangkit pada separuh masa kedua. Dan separuh masa kedua pun saya melihat kita bermain bola sepak yang bagus, kita kuat di bahagian belakang. Kita cuba menembusi dari bahagian tengah. Masukkan Hadin, dia cipta 2-3 peluang.”
“Kita berjaya mencipta 2-3 situasi dengan menjadi, tetapi … bagi saya 2 sama adalah keputusan yang adil. Selangor adalah pasukan yang sangat baik.”