Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia: Dollah Salleh Lega Faisal Halim Bangunkan Pahang Daripada ‘Lazy Football’

Pahang berjaya bangkit untuk menang 3-1 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2019.

Skuad bimbingan Dollah Salleh dikejutkan dengan gol pendahuluan oleh Pulau Pinang pada minit ke-50. Tersentak dengan gol itu, Pahang bangkit dengan 3 gol.

Dollah Salleh lega kerana mereka berjaya mengubah tempo dan kualiti permainan mereka berhadapan dengan pasukan Pulau Pinang yang bermain dengan taktikal defensif dengan ramai pemain di belakang bola.

Apa yang menarik, Dollah Salleh menganggap Pahang ada satu gaya bola sepak yang tidak beliau ingini iaitu bola sepak malas.

Menurut Dollah Salleh: “Sebenarnya pada separuh masa pertama kita banyak berlegar-legar. ”

“Pasukan Pahang hanya bermain bola sepak kita dan tidak betul-betul [ada idea untuk mengatasi lawan]. Ini kerana Pulau Pinang sangat kompak di dalam kotak penalti. Kita pula masih bermain dengan corak ‘lazy football’ [bola sepak] malas kita.”

“Namun pada separuh masa kedua, walaupun pada awalnya kita masih memulakan separuh masa kedua dengan corak [bola sepak malas] yang sama pada 5 minit pertama, dan selepas kemasukan Faisal Halim, kita banyak melakukan perubahan.”

“Bermula dari situlah kita banyak melakukan ancaman tambahan daripada belakang – dengan larian-larian daripada belakang. Daripada situlah kita berjaya memecahkan pertahanan Pulau Pinang.”

Kemenangan 3-1 itu bermakna Pahang kini menjadi pendahulu kumpulan C. Pasukan Perak dan Sabah masih belum lagi memulakan kempen mereka.