Perak bangkit dari ketinggalan dua jaringan untuk mengatasi Kedah 4-3 pada aksi kategori wanita saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, sebentar tadi.
Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit kelima selepas hantaran lintang dilakukan Nur Ayu Natasha Abdul Rashid dari sebelah kiri pintu gol Perak disudahkan dengan baik oleh Siti Nur Asmieda Suremi yang tidak dikawal pertahanan lawan.
Dua minit kemudian, kelebihan tersebut berjaya dipadamkan Perak hasil rembatan padu dari luar kawasan D diledakkan Rabiah Bishriyah Abdul Kadir yang gagal dihalang penjaga gol Kedah, Nur Aisyah Humairah Nee Abdullah.
Turun selaku pasukan pilihan pada perlawanan ini, Perak memperlihatkan corak permainan lebih tersusun berbanding Kedah serta melancarkan serangan yang cukup berbahaya.
Ketika pasukan lawan sedang ghairah mengasak, Wan Ainul Aeman menceriakan penyokong tuan rumah selepas rembatan padunya berpunca daripada serangan balas pantas membolosi gawang Perak untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-13.
Baru seminit aksi babak kedua bersambung, Wan Ainul mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua peribadinya menerusi gerakan solo dari tengah gelanggang yang kemudiannya menewaskan penjaga gol, Nor Hidayah Alias.
Kelebihan dua jaringan itu gagal digunakan sepenuhnya oleh Kedah apabila Perak bangkit dengan begitu bersemangat dalam usaha memadam kelebihan tersebut.
Ia bermula pada minit ke-24 setelah Nur Syazwina Shuib meledakkan jaringan kedua Perak dan disusuli pula rembatan padu dari Farahiyah Ridzuan berselang tiga minit kemudian bagi menyamakan kedudukan.
Nur Alia Natasya Saimi muncul wira kebangkitan Perak selepas jaringannya pada minit ke-36 itu telah menghadiahkan kemenangan kedua buat skuad bimbingan Rashidi Hashim tersebut.
Pemain terbaik perlawanan: Nuraiin Syafika Omar (Perak)
Kredit foto: Khairil Ajhar | Arena HijauKuning