Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas tuduhan pecah amanah melibatkan nilai berjumlah RM191,298.70.
Tertuduh berusia 49 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad hari ini.
Menurut laporan portal berbahasa Inggeris Dayak Daily, tiga tuduhan kes pecah amanah yang disabitkan terhadap tertuduh melibatkan nilai berjulah RM139,920, RM21,378.70, dan RM30,000 – yang sepatutnya adalah milik FAS – dilakukan pada 4 Februari, 13 Februari dan 18 Januari 2017.
Hakim menetapkan 14 Ogos depan untuk urusan pra perbicaraan dan Razali dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM8,000 beserta dua penjamin.
Razali juga diarahkan untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan selang dua minggu.
Tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Skandal Pecah Amanah mantan Setiausaha Agung FAS, Ismail @ Razali Dolhan Terbongkar!
https://sarawakfa.com.my/index.php/2019/04/05/skandal-pecah-amanah-ismailrazali-dolhan-ketika-berkhidmat-di-fas-terbongkar/
Posted by Sarawak FA Official – NgapSayot on Thursday, April 4, 2019
Pada April lalu, bola sepak Sarawak digemparkan dengan tindakan Presiden FAS, Dato’ Posa Bin Haji Majais yang melakukan laporan terhadap bekas Setiausaha persatuan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Razali melalui peguamnya Dominic Ng kemudiannya pernah mengeluarkan surat tuntutan permohonan maaf dari Presiden FAS itu, sekaligus mengarahkan kes ditarik balik, selepas melabel tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
Razali melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS pada Januari 2018. Namun beliau kekal sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League sehingga ke hari ini.