Piala Malaysia 2019: Hadin Azman Senjata Utama Felda United Gempur Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Nama penyerang Felda United, Hadin Azman sekali lagi akan mencuri tumpuan ramai menjelang pertemuan di antara pasukannya dan Selangor pada malam esok di Stadium Shah Alam, Selangor.

Kelibat Hadin dalam kesebelasan utama sudah pasti menjadi mimpi ngeri buat pasukan Selangor apabila beliau telah menjaringkan gol dalam dua pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam musim ini.

Foto: Felda United

Pertama jaringan beliau pada awal musim membolehkan Felda United membawa pulang satu mata ke Jerantut, Pahang. Kedua jaringan Hadin pada minit-minit akhir perlawanan pusingan ketiga Piala FA ternyata lebih memeritkan apabila menamatkan kempen Selangor di gelanggang keramat mereka sendiri.

Dalam temubual beliau bersama wartawan Astro Arena, Hadin enggan menjanjikan apa-apa tetapi bertekad mahu meneruskan kekecewaan Selangor dengan menampilkan persembahan terbaik sekiranya diturunkan oleh jurulatih dalam perlawanan ini.

Bek kanan Selangor, Azreen Zulkafali mengawal pergerakan Hadin Azman ketika menentang Felda United di Stadium Shah Alam. (Foto: asiana.my/FA Selangor)

“Kami sudah banyak kali bertemu mereka dan masing-masing sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jadi, sesiapa yang buat kesilapan akan rugilah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ketua Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil yang akan bertembung dengan mentornya, B. Sathianathan beranggapan ‘jodoh’ kedua-dua pasukan begitu kuat apabila ditakdirkan bertemu buat kali keempat pada musim ini.

Foto: Stadium Astro

Selepas aksi di Liga Super dan Piala FA kini kedua-dua pasukan akan berentap dalam dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Nidzam tetap mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dan berhati-hati dengan ancaman Selangor yang menunjukkan peningkatan prestasi di pusingan kedua saingan Liga Super.

Turut diundi dalam kumpulan D adalah pasukan Melaka United dan PDRM FA yang akan bertemu pada hari Ahad di Stadium Hang Jebat, Melaka.

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U