Shakir Hamzah membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi instagram beliau selepas komen yang dianggap melampau ke atas Leandro.
Dalam satu sidang media rasmi, Shakir Hamzah telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak tahu ada apa dalam ‘otak’ Leandro.
Shakir dalam sidang media tersebut berkata: ”Untuk saya, untuk Perak, saya akan jaga import mereka. Lagi-lagi Leandro (Dos Santos). Bagi saya, otak dia pun saya tidak tahu kenapa. Apa masalah dia pun saya tak tahu kenapa.”
”Kita nak kena kawal emosi kita untuk menentang Perak ini.”
”Saya dulu begitu juga, suka buat orang mengamuk. Terjahan pun sebarang. Kita akan buat dia (pemain lawan) terus mengamuk. Lagi dia mengamuk, lagi itu dia tidak boleh berfikir – fikiran dia dah tak betul. Dalam game pun dia boleh akan hilang ‘otak’.”
”Jadi kalau dia kacau emosi, kita senyum sahaja. Bad (Baddrol Bakhtiar) ada bercakap, dia (Leandro) nak maki, protes kita, tak mengapa. Angkat kaki, senyum dan jalan.”
”Tak payah kita nak melawan dengan dia. Lagi kita lawan, lagi dia suka. Kita hanya jangan ambil kisah pasal dia, itu yang penting,” ujar Shakir yang bercakap dalam satu video sidang media dikeluarkan Goal Malaysia.
Komen Shakir Hamzah itu membuatkan beberapa pihak kurang senang dan menganggap pemain itu patut lebih baik dalam bercakap di sidang media rasmi.
Lantas, pemain kelahiran Singapura itu terus meminta maaf. Beliau mengakui kesilaapannya. Shakir berkata: “Saya mahu memanjangkan permohonan maaf saya kepada Leandro, penyokong Perak dan semua pihak yang terkesan dengan komen saya semalam ketika sidang media.”
“Saya bukan memaksudkan Leandro seorang yang gila, saya cuma ingin menggariskan gaya keras dan perang mental yang beliau lakukan ke atas pemain lawan ketika perlawanan.”
“Mungkin saya agak melampau dalam komen tersebut, tetapi saya tidak berniat untuk membangkitkan kemarahan. Dalam sedang rancak berbicara, saya hilang kawalan dan mungkin saya telah memilih perkataan yang tidak sepatutnya.”
“Ia mungkin menampakkan saya seorang yang angkuh dan biadap. Namun, tulus dari hati [saya], Shakir tak bermaksud demikian. Shakir ingin memohon maaf atas kesilapan tutur bicara Shakir.”
“Shakir berharap pihak media lain tidak menggembar-gemburkan perkara ini. Terima kasih.”
Harus diakui, di Liga Malaysia, bukan sahaja pemain, malah pegawai pasukan sendiri ramai yang gagal dalam mengendalikan sidang media sebaik mungkin.
Mungkin selepas ini pihak kelab ataupun pasukan mendedahkan mereka dengan isu mengendalikan sidang media ataupun berhadapan dengan wartawan dan juga orang ramai – terutama sekali ketika bertutur.
Diharap permohonan maaf ini sampai kepada Leandro dan juga penyokong Perak. Sama-sama kita fokus kepada aksi final yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.