Maurizio Sarri memang dikenali dengan sikapnya yang berpegang teguh kepada falsafahnya. Beliau juga signifikan dengan corak permainan bola rendah yang digelar mini tiki taka oleh ramai pengulas – dilabel Sarriball oleh pundit di Itali – ketika beliau menguruskan Napoli.
Salah satu sebab beliau dilantik di Juventus adalah kerana falsafah permainan. Pengerusi Juventus, Andrea Agnelli musim lalu menyatakan mereka akan melepaskan Max Allegri.
Salah satu daripada pertimbangan mereka adalah, mereka mahukan bola sepak yang berfalsafah – terutamanya falsafah moden – dibentuk di Juventus. Berbanding dengan bola sepak yang digelar pragmatik. Memang ia mampu memberikan kejayaan tetapi dari segi kepuasan, adalah lebih baik menang dengan cara Guardiola.
Juventus dalam transisi ke Sarriball
Dalam pra musim Juventus kali ini, isu pertama mereka adalah transisi taktikal. Boleh dikatakan pemain-pemain Juventus yang ada dalam pasukan sudah mewarisi sistem bola sepak pragmatik diterapkan era Conte dan kemudian Allegri.
Perkara pertama yang difokuskan Sarri adalah binaan serangan daripada bawah. Ketika menentang Spurs, anda dapati ada usaha yang aktif untuk membina serangan daripada bawah dengan cara Sarri. Mereka sebelum ini ada menerapkan sistem ini namun ianya cuma tempelan kepada sistem.
Perkara yang dapat diperhatikan, Juventus masih perlu menguatkan lagi aspek gerakan pemain agar mereka mendapat ruang. Gambar di atas jelas menunjukkan mereka masih terlalu terikat dengan posisi dan kurang ‘intelligence’ untuk mencari ruang sendiri dalam sistem.
Disiplin itu penting tetapi dalam masa yang sama para pemain perlu lebih semulajadi untuk berfikir apa yang mereka harus lakukan.
Spurs merupakan lawan terbaik untuk Sarri mencuba ujian asid ke atas sistem beliau selepas beberapa minggu bersama pasukan. Ini kerana Mauricio Pochettino merupakan pemegang falsafah ‘high tempo press’ sama seperti beliau.
Apa yang pasti, dalam perlawanan ini, Juventus bergelut dengan sistem binaan daripada belakang.
Lihat video di bawah ini, anda dapati para pemain Juventus masih tidak begitu yakin untuk melepasi tekanan di garisan tinggi Spurs – dengan pertukaran hantaran.
Dalam sistem Sarriball para pemain perlu tenang dan sentiasa percaya kepada rakan untuk melepaskan bola dalam jarak dekat di blok rendah. Namun apa yang berlaku mereka masih panik dan terus mengantar bola tinggi.
Dalam falsafah high pressing yang turut diamalkan Spurs, salah satu sebab mereka melakukan tekanan tinggi itu adalah untuk mendesak lawan melepaskan hantaran tinggi segera dalam keadaan panik.
Seterusnya pada fasa transisi, para pemain Juventus tidak bergerak laju secara unit. Kerana mereka sudah terbiasa dengan sistem serangan balas yang klasik, bergantung kepada pemain sayap yang laju dan terus mencari pemain penyerang utama.
Di sini, anda lihat, mereka terpaksa berpatah balik kerana unit di belakang agak statik dan tidak cukup cepat bereaksi. Akhirnya mereka ditekan oleh Spurs sekali lagi.
Rumusan
Berdasarkan pemerhatian kami, Maurizio Sarri masih cuba memperbaiki aspek transisi dari bahagian blok rendah iaitu binaan serangan daripada bawah. Di Chelsea beliau ada Kepa Arrizabalaga yang merupakan ‘ball playing keeper’.
Juventus memiliki pemain yang bagus untuk sistem ini, seperti De Ligt dan juga Bonucci. Namun mereka masih tercari-cari rentak secara berpasukan ataupun sebagai satu unit yang besar.
Para pemain perlu lebih yakin dan percaya kepada rakan mereka dalam pertukaran hantaran dan pergerakan. Seterusnya barulah terbina fluiditi dengan lebih persefahaman secara telepathic.
Seperti dijangka, setiap perubahan itu memerlukan pengorbanan terutama sekali dari segi masa dan komitmen para pemain.