EKSKLUSIF: Manzoor Azwira Kongsi Rahsia Kebangkitan Pulau Pinang

Manzoor Pulau Pinang

Kali terakhir Pulau Pinang layak ke saingan Piala Malaysia adalah pada musim 2015 – selaku naib juara Liga Premier 2015. Selepas itu, mereka tidak lagi merasai nikmat beraksi di kejohanan yang berprestij ini – iaitu merupakan antara yang tertua di Asia.

Kemenangan bergaya ke atas Sarawak tempohari telah membantu mengesahkan slot Harimau Kumbang di Piala Malaysia 2019.

Nostalgia lama

Bercakap kepada Semuanya BOLA, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid telah menyatakan rasa syukurnya.

“Ia piala yang penuh sejarah. Berpeluang layak ke Piala Malaysia ini adalah sesuatu yang buat kita sangat bersyukur,” ujarnya apabila ditanya mengenai makna Piala Malaysia buat skuad kendaliannya.

Untuk dirinya pula, piala ini merupakan piala terakhir yang pernah dijulangnya selaku pemain profesional iaitu ketika bersama Perlis pada 2006 – menang ke atas Negeri Sembilan 2-1 di final.

manzoor, khairul anuar, piala malaysia
FOTO: The Star

Ketika itu, Manzoor Azwira merupakan kapten Perlis dan pasukan dari utara tanah air itu turut ditunjangi pemain seperti Phillemon Chepita, Zachariah Simikonda dan juga Adrien Jurad Chamrong.

“Sebagai pemain saya pernah mengucup Piala Malaysia; ketika itu bersama pasukan Perlis. Kita ambil Piala Malaysia ini sebagai satu pendedahan kepada Pulau Pinang dan mungkin satu pertandingan yang kita mampu buat kejutan, insyaAllah,” jelasnya lagi.

Kebangkitan Harimau Kumbang

Dibawah kendalian Manzoor Azwira, Pulau Pinang dilihat kembali kepada prestasi terbaik selepas bekas pengendali Perlis itu pulang pada pertengahan April untuk menggantikan Ahmad Yusoff. Beliau meninggalkan Perlis selepas ‘drama’ dan kemelut pembayaran gaji.

Jika diambil kira sejak mengambil alih Pulau Pinang secara rasmi pada 18 April, Manzoor Azwira telah merekodkan 5 kemenangan, 4 seri dan 2 kekalahan iaitu kepada JDT II dan Kelantan yang ditemui sejurus pelantikannya sebagai pengendali Harimau Kumbang.

FOTO: FA Penang

Begitupun, menurutnya lagi, secara tepat perlawanan pertamanya adalah ketika menentang Kelantan kerana pelantikannya adalah sehari sebelum Pulau Pinang turun menentang JDT II di Bandaraya.

Selepas tewas 1-2 menentang Kelantan di Kota Bharu, pasukan yang pernah menjulang Piala FA 2002 itu tidak lagi tumbang malah kedudukan pasukan juga semakin mengukuh daripada kelompok bawahan liga kepada pertengahan liga – kini di kedudukan ke-6.

“Saya lebih memberi penekanan berkaitan disiplin ketika latihan. Bukan sekadar disiplin dalam pengurusan masa tetapi juga disiplin dalam taktikal permainan; iaitu ketika bertahan dan menyerang.

Pulau Pinang, Aguero, Battaro, Casagrande
FOTO: FA Penang

“Selepas kemasukkan beberapa pemain, kita berjaya menampung kelemahan dalam pasukan tetapi saya kena akuilah, sebenarnya ia masih belum cukup kalau kita nak bandingkan dengan pasukan-pasukan lain seperti UITM FC, PDRM dan Sabah,” ulas pengendali berusia 42 tahun itu tentang rahsia ‘ngauman’ Harimau Kumbang.

Antara pemain yang didaftarkan ketika jendela perpindahan kedua adalah seperti Ezequiel Aguero, Amirul Syazani Roslan, Casagrande, Zamir Selamat, Wan Mohd Syukri Wan Ahmad dan A. Yoges.

Perancangan masa hadapan

Semuanya BOLA turut bertanya mengenai kesediaannya untuk mengekalkan pemain-pemain tersebut terutamanya Aguero dan Casagrande yang cemerlang setakat ini, beliau kurang pasti.

“Untuk prestasi semasa, kedua-dua pemain ini kita rasa mereka patut dikekalkan dan persefahaman antara mereka dan pemain-pemain lain akan jadi lebih baik selepas ini,” jelasnya.

FOTO: FA Penang

“Cuma saya tidak pasti apa akan jadi selepas ini. Saya belum dapat bagi satu keputusan yang sah. Setakat ini, mereka membantu dan patut dikekalkan serta pasukan akan jadi lebih mantap pada tahun depan,” tambahnya lagi mengenai status kedua-dua pemain itu.

Semuanya BOLA turut mengambil inisiatif menghubungi Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah untuk bertanyakan sendiri status kedua-dua pemain tersebut.

“Aguero memang kita ambil. Hanya Casagrande pinjaman. Kita tengoklah macam mana nanti. Kalau Melaka United mahu ambil semula Casagrande, kita tak boleh buat apa. Kita cuma pinjam,” jelasnya sambil menegaskan Manzoor Azwira adalah pengendali yang sememangnya dijodohkan untuk Pulau Pinang.

Foto: FA Penang

“Mula-mula memang saya tawarkan dia [Manzoor Azwira)] untuk jadi ketua jurulatih, tetapi dia menolak dan kita beri kepadanya jawatan penolong jurulatih. Beberapa hari kemudian, dia maklumkan yang dia tidak jadi [bersama Pulau Pinang].

“Saya kata you pergi ambil pengalaman dengan Perlis dan datang semula nanti,” jelasnya yang telah berada di belakang tabir FAP sejak tahun 2011 lagi dan telah lama mengenali Manzoor Azwira.

“Kalau dengan PDRM menang, kita ada peluang untuk ke Liga Super. Kalau kalah, tahun depan kita akan buat lebih hebat, dari mula kita akan cuba kutip mata,” ujar Dr. Amar Pritpal lagi.

Untuk rekod, prestasi cemerlang Pulau Pinang dalam saingan Piala Malaysia adalah ketika di era 50-an hingga 70-an. Kali terakhir mereka menjulang trofi berprestij ini adalah pada tahun 1974.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN