Penolong ketua jurulatih, Azmi Mohamed mengakui bahawa motivasi tinggi anak buahnya yang bekerja keras sehingga minit akhir permainan jadi kunci kejayaan Kedah menewaskan Perak 4-2 dalam saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Kemenangan itu boleh dilabel sebagai aksi pemanas badan apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi pada perlawanan akhir Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.
”Pertamanya apa yang kita tekankan kepada pemain sebelum mereka masuk padang, ini adalah Darul Aman.”
” Bermakna motivasi yang tinggi untuk kita tidak kalah di stadium kita. Berbekalkan motivasi itu, sehingga ke 90 minit mereka berusaha dan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan kita berjaya menghasilkan kemenangan pada malam ini.”
”Kredit juga untuk pemain juga pada malam ini.”
”Mereka bermain dengan bersungguh-sungguh dan fokus sampai 90 minit permainan,” jelas Azmi lagi bercakap ketika sidang media selepas perlawanan.
Pada aksi di Darul Aman itu, Perak terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Shahrul Saad pada minit ke-29.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah berjaya bangkit menerusi jaringan N. Thanabalan dan Renan Alves Da Silva di minit ke-40 dan 45. Memasuki babak kedua, Perak menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Ronaldo Henrique Silva.
Fernando Rodriguez muncul wira buat Kedah apabila dua jaringannya pada lewat permainan menghadiahkan tiga mata penuh untuk skuad Lang Merah mencatatkan kemenangan 4-2.
Kredit foto: Kedah FA