Quantcast

BERITA

Inter Milan Dan Icardi Setuju Pengecualian Daripada Pra Musim

Inter Milan mengesahkan mereka sudah mencapai persetujuan dengan Mauro Icardi bahawa pemain itu tidak akan menyertai jelajah pra musim di Asia. Namun begitu Icardi dibenarkan untuk menggunakan kemudahan di pusat latihan Inter Milan untuk mengekalkan kecergasan.

Kenyataan rasmi dibuat menerusi akaun media sosial rasmi kelab.

Masa depan Icardi dan Inter Milan sudah diputuskan oleh pengurusan yang menyatakan pemain itu tiada dalam perancangan musim hadapan.

Sebelum ini, Guissepe Marotta menegaskan isu disiplin Icardi dan Nainggolan membuatkan 2 pemain itu dirasakan tidak sesuai dengan projek baharu Inter Milan di bawah kendalian Conte. “Bakat sahaja tidak cukup untuk melayakkan mereka terlibat dalam projek baharu kami”, tegas Marotta.

Marotta menyatakan kesemua keputusan yang dibuat melibatkan pemilihan pemain termasuk pembelian pemain adalah berdasarkan perbincangan pengurusan dengan Antonio Conte.

Icardi dan Nainggolan juga tidak disenaraikan dalam sesi latihan taktikal oleh Antonio Conte.

Dengan status terkini dikeluarkan Inter Milan ini, ianya turut membolehkan Mauro Icardi mencari kelab baharu. Inter Milan mengalu-alukan mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Icardi dan Nainggolan.

Juventus antara pasukan yang berminat dengan Icardi tetapi mereka masih perlu untuk menjual sama ada Higuain ataupun Mandzukic. Buat masa ini Juventus mengutamakan penjualan Higuain.