Perak berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk merakamkan kemenangan 3-2 keatas Selangor dalam saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Perak, Ipoh.
Empat jaringan terhasil pada 45 minit pertama walaupun Perak mempamerkan corak permainan lebih bertenaga berbanding skuad bimbingan B. Satiananthan itu.
Ketika pasukan tuan rumah ghairah mengatur gerakan dengan menguasai jentera tengah, Selangor mengejutkan kem Perak pada minit ke-29.
Kesilapan pemain pertahanan Shahrul Mohd Saad dan Idris Ahmad yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya digunakan sepenuhnya oleh Regan untuk membuka tirai jaringan.
Perak pantas bangkit daripada lamunan apabila melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu lawan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-42 menerusi Raianderson Da Costa Morais (Careca).
Kealpaan pertahanan Perak sekali lagi dihukum pasukan pelawat dan peluang terhidang akibat kesilapan Amirul Azhan itu digunakan sepenuhnya oleh Endrick Dos Santos bagi menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-45.
Ketika perlawanan babak pertama semakin menghampiri penghujung, Perak dihadiahkan sepakan penalti selepas A. Namathevan mengasari Norhakim Hassan dalam kawasan penalti.
‘Budak nakal’, Leandro Dos Santos pada mulanya membuatkan penyokong Perak kecewa apabila sepakannya terkena tiang gol tetapi pemain dari Brazil itu tenang melakukan percubaan susulan untuk kembali mengikat kedudukan.
Gol itu bagaimanapun mendapat bantahan kem Selangor tetapi pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin masih tetap dengan keputusannya untuk mengesahkan jaringan tersebut.
Memasuki babak kedua, Selangor kelihatan garang melancarkan serangan ke kubu Perak, namun ia tidak membuahkan hasil.
Ancaman terbesar Selangor adalah pada minit ke-60 selepas umpanan lintang dari Syazwan Zainon berjaya ditanduk Michal Nguyen tetapi Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy tangkas menepis percubaan tersebut.
Rembatan susulan yang dilepaskan Regan pula sekadar melewati palang gol.
Dua minit kemudian, Careca muncul wira buat Perak apabila lorongan cantik dari J. Partiban diledakkan dengan tenang pemain berusia 23 tahun itu bagi menghadiahkan kemenangan 3-2 buat anak buah Mehmed Durakovic itu.
Dengan kemenangan ini meletakkan Perak ditangga keenam dengan mengumpul 30 mata manakala Selangor kekal menghuni tangga kelima berbekalkan 31 mata.
Kredit foto: Zaid Ayid | Sukan Malaysia Online