Penjaring tiga gol buat Pahang Rangers ketika menewaskan KL City 4-3 dalam aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 pada Rabu lalu, Saifulnizam Mohd Ali memberikan penghargaan khas kepada penyokong dengan menyifatkan mereka sebagai memainkan peranan penting di dalam membantu pasukan itu bangkit penuh dramatik.
“Saya tidak sangka akan skor hatrik, ini hadiah buat semua penyokong yang bersorak hebat terutamanya Elephants Army dan membangkitkan semangat kami sama ada di stadium mahupun dari jauh. Saya gembira kita raih tiga mata dalam aksi pertama di tempat sendiri.
“Apapun, saya perlu akui ia perlawanan yang sukar, kami ketinggalan dua kali dan pasukan lawan pula cukup berdisiplin ketika bertahan menyebabkan kami buntu mencari gol.
“Namun kami merubah sedikit taktikal, menunjukkan ketenangan, kesabaran dan paling penting tiada seorangpun hilang keyakinan. Kami percaya selagi ada masa, kami boleh bangkit dan menang, kami tidak mahu tercicir mata di hadapan penyokong sendiri dan mengecewakan mereka,” ujar Saifulnizam yang sudahpun mengumpul empat gol dalam dua perlawanan.
Aksi di hadapan lebih 2,000 penyokong yang membanjiri Stadium Tertutup SUKPA itu menyaksikan KL City mencipta kejutan apabila merebut pendahuluan 2-0 menerusi jaringan Addli Che Hussin (m-3) dan Iza Hassan Bostaman (m-12).
Pahang Rangers bagaimanapun bangkit dengan dua gol pantas dalam tempoh kurang seminit menerusi Abu Haniffa Hassan dan Saifulnizam untuk memastikan kedudukan terikat 2-2 menuju rehat separuh masa pertama.
Lapan minit permainan bersambung, Al-Haziq Adnan meletakkan KL City mendahului 3-2 namun kedudukan kembali terikat menerusi sentuhan Saifulnizam empat minit kemudian, sebelum tonggak Harimau Malaya itu meledak gol kemenangan dramatik seminit sebelum tamat perlawanan selepas menerima umpanan Khairul Effendy Bahrin.
Selepas dua perlawanan, Pahang Rangers berada di tangga kedua dengan enam mata, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan pendahulu Selangor yang turut mengumpul enam mata.
Kedua-dua pasukan akan berentap sesama sendiri dalam aksi ketiga MPFL 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 10 Julai depan di Kompleks Sukan Panasonic.