Meskipun menewaskan Pahang dengan jaringan yang besar, 5-2 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin, Selangor tetap berdepan sindiran dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong mereka di media sosial.
Dalam perlawanan itu, skuad Tok Gajah menurunkan barisan kedua dan merehatkan beberapa tonggak utama untuk menghadapi saingan separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh pada hari Sabtu ini.
Bagaimanapun, pengendali gergasi merah, B. Satiananthan tetap memuji prestasi anak buahnya dan menyifatkan kemenangan tersebut amat penting bagi membolehkan mereka memburu kedudukan kedua Liga Super.
“Tahniah kepada barisan pemain yang mengalahkan Pahang.
“Sudah seminggu kami membuat persiapan sejak bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), Rabu lalu.
“Kalau Pahang tidak meletakkan pemain utama, kami tidak boleh buat apa-apa kerana kami hanya mahu teruskan aksi dan akhirnya meraih kemenangan.
“Pengkritik jangan lupa, kami tidak kalah dalam aksi (pusingan pertama liga) di Kuantan walaupun ketika itu, mereka menurunkan skuad utama,” katanya dalam Stadium Astro.
Bekas jurulatih FELDA United itu turut menjelaskan perlawanan tersebut bukan mudah jika pasukan pelawat menurunkan semua pemain simpanan kerana Selangor juga beraksi tanpa beberapa tonggak utama yang cedera.
“Kita menang pun ada lagi yang berbunyi setakat simpanan Pahang boleh lah makan, masih ada suara sumbang, jadi kalau kalah faham-fahamlah.
“Walaupun Pahang turunkan skuad kedua, ia bukan perlawanan mudah, kerana Selangor sendiri kehilangan ramai pemain utama seperti Syazwan Zainon, Taylor Regan, Prabhakaran kerana kecederaan. Jadi ia kemenangan yang patut dihargai, bukan diperlekeh.
“Dan ingin saya tegaskan kalau Pahang turunkan skuad terkuat mereka sekalipun, bukan bermakna kita akan kalah. Dulu kita lawan skuad terkuat mereka di Kuantan, kita hampir menang, mentaliti penyokong kena ubah tapi kalau mereka nak kekal macam tu, terpulang,” katanya.
Selepas perlawanan Liga Super semalam, Selangor kini berada di tangga keempat dengan 28 mata dan hanya dibezakan dengan 1 mata dengan Kedah di tangga ketiga serta dua mata dengan Pahang di tangga kedua.
Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pun dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Melaka United, 2-1 semalam.