Perak menarik nafas lega kerana dapat melepasi ranjau kebangkitan tuan rumah pada 10 minit terakhir perlawanan setelah berjaya menundukkan Felda United 3-2 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada saingan Liga Super Malaysia 2019.
Kejayaan itu merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat Perak dalam saingan liga selepas cuti rehat Hari Raya Aidilfitri.
Perak bagaimanapun pada permulaannya kelihatan begitu sukar untuk memecah masuk kawasan penalti tuan rumah.
Ia terbukti apabila walaupun lebih mengawal permainan, skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu hanya mampu melakukan tiga percubaan dari luar kawasan penalti.
Percubaan diledakkan oleh Ronaldo Henrique Silva, Brendan Gan dan J. Partiban itu tidak mendatangkan masalah buat penjaga gol utama Felda United, Norazlan Razali.
Hasil satu serangan balas pantas selepas percubaan jarak jauh Jasazrin Jamaludin berjaya dipatahkan, jaringan yang dinantikan skuad ‘Yob’ menjelma pada minit ke-22.
Bermula daripada hantaran jauh Brendan Gan yang mengumpan bola kepada Ronaldo, penyerang kelahiran Brazil itu bijak menyudahkan peluang ketika melihat Norazlan cuba untuk menyelamatkan keadaan.
Perak mengukuhkan kedudukan 2-0 pada minit ke-34 selepas hantaran dari sebelah kanan pintu gol Felda United cuba dihalang Norazlan tetapi bola muntah dan J. Partiban tidak melepaskan peluang melakukan rembatan leret yang membolosi gawang.
Memasuki babak kedua, Perak terus bernafsu untuk menambah jaringan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-53. Kali ini giliran Rainderson Da Costa Morais (Careca) pula meletakkan namanya selaku penjaring.
Selepas beberapa percubaan pada babak pertama berjaya dinafikan dengan mudah, bagaimanapun rembatan deras luar kawasan penalti dari Careca gagal dihalang Norazlan Razali.
Ketinggalan tiga gol langsung tidak mematahkan semangat anak buah Nidzam Jamil apabila The Fighters berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-81 menerusi kapten, Hadin Azman.
Hadin melepaskan rembatan dari jarak dekat yang sekaligus menewaskan Khairul Amri Salehuddin di gawang gol Perak.
Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat juang para pemain Felda United. Dua minit kemudian, Felda berjaya menjaringkan gol kedua menerusi tandukan daripada Kei Ikeda.
Ia berpunca daripada kegagalan Khairul Amri untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan Ikeda bijak mengatasi pertahanan Perak untuk menanduk masuk bola bagi gol kedua Felda United.
Keadaan yang jelas membuatkan Perak tertekan dengan keadaan yang berlaku dengan sekelip mata itu.
Bagaimanapun hasrat Felda untuk sekurang-kurangnya mendapatkan gol penyamaan tidak kesampaian apabila perlawanan berkesudahan dengan 3-2 memihak pasukan pelawat.
Kemenangan ini meletakkan Perak ditangga keempat liga dengan mengumpul 27 mata. Kedah dan Melaka United berpeluang untuk merampas kedudukan Perak apabila skuad Lang Merah akan bertemu PJ City di Darul Aman manakala Melaka bakal menanti kunjungan JDT.
Felda United pula terus menghuni tangga tercorot dengan mengumpul 12 mata.
Kredit foto: Perak TBG