Quantcast

LIGA MALAYSIA

MSL 2019: Selangor Berpesta Gol Belasah Pahang Di Shah Alam

Skuad Gergasi Merah berjaya memastikan tiga mata berada dalam genggaman apabila mudah menewaskan juara bertahan Piala FA, Pahang, 5-2 pada aksi Liga Super malam tadi.

Dalam perlawanan ini, skuad Tok Gajah melakukan kejutan apabila menurunkan barisan kedua dan merehatkan beberapa tonggak utama seperti Matthew Davies, Herold Goulon, Dickson Nwakaeme dan Azam Azih.

Manakala Selangor turun dengan skuad tempang tanpa kelibat pemain pertahanan import, Taylor Regan dan pemain tengah K. Sarkunan yang menjalani hukuman penggantungan.

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula, Selangor terus melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu pasukan Pahang dan peluang terbaik hadir pada minit ke 7 melalui rembatan leret Enrick Dos Santos tepat ke dakapan Remezey.

Meskipun berdepan tekanan daripada jentera serangan gergasi merah, Pahang sempat melakukan serangan balas melalui gerakan pantas Wan Zaharulnizam tetapi hantarannya gagal disudahkan dengan baik oleh Nik Sharif.

20 minit kemudian, Selangor berjaya memperolehi gol pertama melalui tandukan kemas Khyril Muhymeen hasil umpanan daripada Sandro Da Silva.

Gol pembukaan itu telah membangkitkan semangat pemain Selangor untuk memburu jaringan besar malam ini memandangkan skuad Tok Gajah dilihat lebih menumpukan aksi separuh akhir kedua di Ipoh pada hari Sabtu ini.

Selepas 5 minit, Stadium Shah Alam kembali bergegar apabila penyerang import Selangor, Ifedayo Olesegun berjaya menambah dua gol pada minit 35 dan 43 untuk meletakkan skuad kendalian B. Satiananthan selesa di depan dengan 3-0.

Ini adalah jaringan ketujuh Ifedayo dalam saingan Liga Super musim ini setelah dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bulan lalu.

Pahang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan, namunĀ  jentera serangan mereka dilihat agak tumpul dan tidak mendatangkan bahaya kepada Selangor. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Selangor tanpa membuang masa terus menambah jaringan keempat melalui rembatan leret Enrick Dos Santos yang mudah menewaskan Remezey hasil hantaran daripada Ifedayo pada minit ke 46.

Bagaimanapun jaringan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Pahang yang cuba melakukan kebangkitan apabila penyerang muda, Kogileswaran merembat cantik dari luar kotak penalti menewaskan Khairul Azhan pada minit ke 67.

Tersentak dengan jaringan Pahang tersebut, Selangor kemudian mengandakan asakan untuk mencari gol kelima dan cuba bermain secara terbuka.

Usaha skuad Tok Gajah melakukan serangan balas akhirnya membuahkan hasil apabila pengadil menghadiahkan sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Peluang itu berjaya dimanfaatkan sepenuhnya melalui tandukan Sumareh yang mudah menewaskan Khairul Azhan hasil umpanan daripada Bunyamin Umar pada minit ke 76. Keputusan perlawanan berubah kepada 4-2.

Memasuki minit ke 80, barisan pemain Selangor sudah mula keletihan dan beberapa pertukaran dilakukan oleh Satiananthan bagi mengimbangi corak permainan pasukan.

Perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan 4-2 namun Ifedayo mengambil kesempatan ke atas kelemahan benteng pertahanan Pahang dengan melakukan jaringan hatrik pada minit ke 86.

Keputusan tersebut telah memastikan Selangor melonjakkan kedudukan ke tangga ketiga Liga Super dengan 28 mata serta hanya dibezakan 2 mata dengan pasukan Pahang di tangga kedua.