Dua pasukan yang sedang bergelut dengan momentum, PKNP FC dan PKNS FC akan bertemu sesama sendiri pada minggu ke-19 Liga Super Malaysia (MSL 2019) pada malam ini.
Stadium Majlis Perbandaran Manjung akan menjadi tumpuan sekali lagi, tatkala kedua-dua pasukan akan bermain dengan misi berbeza.
PKNP FC terdesak, PKNS FC elak terjerumus
PKNP FC boleh dikatakan berada pada kedudukan terdesak dalam misi mereka mencari mata sebanyak mungkin demi survival di MSL pada musim hadapan. Sebelum ini PKNP FC melalui dua perlawanan sukar – bertemu JDT dan Pahang FA – dan hanya berjaya memperolehi satu mata apabila mengikat JDT 1-1 di Manjung.
Namun tidak semuanya adalah perkara negatif untuk skuad kendalian Abu Bakar Fadzim. Prestasi penyerang import, Ramon da Silva misalnya yang berjaya menjaringkan gol ketika menentang JDT memberikan perspektif berbeza dalam permainan, jika dibandingkan dengan penyerang import terdahulu, Thomas Abbey. Digandingkan dengan Guancarlo dan kerajinan Yashir Pinto, pertahanan PKNS FC pasti perlu berhati-hati dengan kehadiran rangkaian serangan PKNP FC.
Dua kekalahan berturut-turut, kepada Felda United dan kemudian kepada Kedah membuatkan PKNS FC terperosok ke tangga ke-9 MSL dengan 19 mata. Hanya 6 mata membezakan anak buah Datuk K. Rajagopal berbanding PKNP FC yang menduduki tangga ke-11.
Skuad Semut Merah juga dibolosi lapan gol dari dua pertahanan – membuatkan barisan pertahanan menjadi isu utama pasukan ini sejak akhir-ahir ini. Jika ada perkara positif yang boleh melegakan K. Rajagopal, ia pastinya prestasi Kpah Sherman yang sehingga kini sudah menjaringkan 11 gol di saingan MSL 2019.
Taktikal pasukan
Dua sistem utama yang digunapakai oleh Datuk K. Rajagopal pada musim ini adalah sisem 4-4-2 dan juga 4-1-4-1. Kedua-dua sistem mampu memberi kestabilan kepada PKNS FC. 4-4-2 lebih sesuai sekiranya PKNS FC mahu corak permainan menyerang yang lebih agresif.
Manakala 4-1-4-1 lebih kepada corak permainan berhati-hati, sebelum menggempur lawan menggunakan serangan balas pantas – seperti mana yang dipamerkan ketika menundukkan PJ City 3-0, dalam perlawanan LS15 pada Mei lalu. Kpah Sherman adalah ancaman utama kepada kubu lawan. Namun kebijaksanaan Akram Mahinan yang merencakan serangan dari bawah turut harus diberikan kredit.
Abu Bakar Fadzim pula adalah antara jurulatih yang gemar menggunakan sistem tiga pertahanan dalam sistem 3-4-3. Ancaman utama daripada PKNP FC semestinya dari rangkaian tiga penyerang import mereka di bahagian hadapan.
Yashir Pinto bertindak sebagai penain No.10, manakala Giancarlo dan Ramon da Costa akan membentuk gandingan ‘double 9’ dengan fungsi yang berbeza. Tatkala Giancarlo lebih mengancam dengan kelebihan fizikal yang dimilikinya, Ramon dilihat sebagai penyerang kedua yang boleh bersilih formasi dengan Yashir – sekaligus mengelirukan pertahanan lawan.
Rekod pertemuan
- 23rd February 2019 PKNS FC 1-0 PKNP FC Liga Super
- 18th July 2018 PKNP FC 0-1 PKNS FC Liga Super
- 27th April 2018 PKNS FC 1-1 PKNP FC Liga Super
Ramalan Semuanya BOLA
Berdasarkan prestasi semasa, sukar untuk meramalkan pemenang perlawanan ini. Kedua-dua pasukan mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing.
Namun misi ‘hidup dan mati’ PKNP FC juga tidak boleh dipandang sebelah mata oleh PKNS FC. Kekalahan pula akan membuatkan PKNS FC turut terjerumus dalam pergelutan dari zon penyingkiran.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!