Quantcast

LIGA MALAYSIA

Previu MSL 2019: Selangor Tekad Buru Tiga Mata Penuh Di Shah Alam

Perlumbaan merebut kedudukan tiga teratas Liga Super kembali bersambung malam ini apabila skuad gergasi merah bakal membuat penghitungan dengan juara bertahan Piala FA, Pahang di Stadium Shah Alam malam ini.

Setelah tewas kepada pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim (JDT), 2-3 pada minggu lalu, Selangor kini menghuni kedudukan kelima dengan 25 mata dan hanya dibezakan satu mata dengan Kedah serta Melaka United di kedudukan ketiga dan keempat.

Justeru itu, perlawanan menentang skuad kendalian Dollah Salleh  merupakan kesempatan terbaik untuk mereka merapatkan jurang mata dengan pasukan Pahang sekaligus berpeluang merebut gelaran naib juara Liga Super musim ini.

Satiananthan Sasar kutip 15 mata maksimum

Pengendali skuad gergasi merah, B. Satiananthan menyasarkan untuk mengutip 15 mata maksimum meskipun sedar bakal berdepan lawan yang lebih kuat dalam baki lima perlawanan terakhir Liga Super.

“Berdepan Pahang ibarat perlawanan akhir buat kami.

“Kami tidak mahu terus keciciran mata untuk melaksanakan misi sekurang-kurangnya meraih kelompok empat terbaik.

“Walaupun kalah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Rabu lalu, saya nampak semangat dan corak permainan anak buah bertambah baik,” katanya dalam Stadium Astro.

Bagaimanapun, mereka dijangka akan berdepan skuad Tok Gajah dengan barisan yang tempang kerana beberapa tonggak utama dilanda kecederaan dan berdepan hukuman penggantungan.

Dua pemain skuad kebangsaan, Halim Saari dan Syazwan Zainon masih dibelenggu kecederaan manakala K. Sarkunan dan pemain pertahanan import Selangor, Taylor Regan menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.

Namun begitu, Satiananthan tetap yakin dengan kemampuan pemain simpanan yang akan menggantikan tempat mereka.

“Sebagai sebuah pasukan, mana-mana pemain yang diberi peluang perlu beraksi dengan baik dan saya mempunyai keyakinan untuk itu.

“Mungkin kehilangan Taylor merupakan satu tamparan hebat tetapi kami perlu mengatasi masalah tersebut dengan menaruh keyakinan kepada pemain yang akan menggantikan tempatnya,” katanya.

FOTO: FA Selangor

Pahang mungkin turunkan barisan kedua

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan mereka tidak akan menurunkan kesebelasan utama malam ini.

Hal ini kerana mereka tidak mahu tonggak utama tercedera dan terlepas aksi penting, separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh pada hari Sabtu ini.

Bagaimanapun, Suffian menjelaskan ia bukan bermaksud mereka memandang rendah pada Selangor dan tetap memburu tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan kedua dalam Liga Super.

“Ia bagi mengelak kecederaan untuk memastikan Pahang layak ke pentas final dan mempertahankan Piala FA yang dimenangi musim lalu.

“Namun, kami tidak akan memberi peluang mudah buat Red Giants untuk menang kerana pasukan ini turun dengan misi mengutip tiga mata.

“Pemain yang bakal mengambil alih tanggungjawab itu diharap dapat membalas kepercayaan untuk membantu pasukan,” katanya dalam Harian Metro.

Mengulas mengenai tahap kecederaan ayam tambatan mereka, Dickson Nwakaeme, Suffian turut berkata, penyerang import Nigeria itu tidak akan disenaraikan berdepan Selangor.

“Saya percaya pemain lain terutama Lazarus Kaimbi dapat bermain dengan lebih baik untuk memperkuatkan jentera serangan,” katanya.

Tok Gajah

FOTO: Pahang FA

Ramalan Semuanya BOLA

Mengikut rekod pertemuan, Selangor telah mencatat 17 kemenangan ke atas Pahang dalam 35 perlawanan yang melibatkan kedua-dua pasukan tersebut. Malah, mereka seri 1-1 dalam pertembungan pertama musim ini di Kuantan pada bulan lalu.

Namun, Pahang memiliki rekod yang baik di Stadium Shah Alam apabila menewaskan Selangor, 3-1 dalam saingan Liga Super dan 2-0 di pusingan ketiga Piala FA pada musim lepas.

Untuk perlawanan malam ini, penulis meramalkan perlawanan akan berlangsung dengan sengit dan pasukan yang kurang melakukan kesilapan mudah akan muncul sebagai pemenang.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!