Selepas mengharungi dua perlawanan yang kurang meyakinkan, Argentina akhirnya dapat menarik nafas lega apabila berjaya menundukkan Qatar 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan B di Arena Do Gremio.
Kemenangan bermakna itu membawa skuad bimbingan Lionel Scaloni tersebut mengiringi Colombia yang menamatkan saingan awal selaku juara kumpulan.
Keazaman Argentina untuk mencatatkan kemenangan keatas juara Asia itu jelas terserlah apabila Lautaro Martinez membuka tirai jaringan seawal minit keempat.
Berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan Qatar, Bassam Al Rawi yang cuba melakukan hantaran jauh tetapi bola singgah di kaki Martinez dalam kawasan penalti mereka.
Penyerang Inter Milan itu tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk meletakkan Argentina di depan.
Selepas itu, Argentina terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan kedua tetapi dihampakan akibat ketumpulan penyudah jentera hadapan pasukan.
Bintang Barcelona, Lionel Messi yang menjadi sandaran utama Scaloni juga tidak berupaya untuk menghasilkan jaringan yang diharapkan.
Ketika aksi sebenar hanya berbaki lapan minit untuk ditamatkan, Sergio Aguero memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad La Albiceleste.
Menerusi satu gerakan solo ke dalam kawasan penalti Qatar, Aguero berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan dan sekaligus meledakkan rembatan bagi menewaskan penjaga gol, Saad El Sheeb.
Di peringkat suku akhir, Argentina akan bertemu Venezuela yang merupakan naib juara kumpulan A.
Sementara itu dalam satu lagi aksi kumpulan B, jaringan tunggal Gustavo Cuellar pada minit ke-31 memberikan kemenangan 100% buat Colombia yang menewaskan Paraguay.