Presiden FIFA Gianni Infantino telah menulis surat kepada Persatuan Bola Sepak Iran untuk mendapatkan jaminan golongan wanita turut dibenarkan hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022.
Dalam satu surat yang turut dikongsikan kepada BBC, Infantino melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Iran mengambil langkah ke belakang dalam komitmen mereka untuk membuka stadium kepada semua tanpa memilih perbezaan jantina.
Pada Oktober tahun lalu, wanita dibenarkan menyaksikan perlawanan bola sepak di Tehran selepas 40 tahun tidak dibenarkan berbuat demikian.
Pada November tahun yang sama ratusan wanita Iran telah hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan akhir Asian Champions League, melibatkan pasukan tempatan Persepolis dan Kashima Antlers dari Jepun.
Namun kekecewaan Infantino adalah selepas beliau dimaklumkan wanita tidak dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan persahabatan diantara Iran menentang Syria pada 6 Jun lalu, dan susulan daripada itu beberapa penyokong wanita turut telah ditahan oleh pihak berkuasa.
Dalam surat yang ditujukan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Iran, Medhi Taj, Infantino dipetik sebagai berkata:
“Perkara ini tidak selari dengan komitmen yang diberikan kepada kami [FIFA] pada Mac 2018 oleh [Iran] melalui Presiden Rouhani, apabola kami diyakinkan bahawa langkah penting ke hadapan akan dilakukan seberapa segera.
“Kami memahami cabaran dan sensitiviti budaya, namun ianya penting untuk perubahan dilakukans secara berterusan di sini. Bukan sahaja kerana kita sepatutnya berbuat demikian kepada wanita di seluruh dunia, tetapi kerana ianya adalah tanggungjawab untuk berbuat demikian, sepertimana prinsip asas yang terkandung di dalam statut FIFA.
“Dalam keadaan ini, saya berharap jika anda boleh memaklumkan kepada FIFA seberapa segera tidak lewat dari 15 Julai 2019, mengenai langkah konkrit yang telah diambil oleh Persatuan Bola Sepak Iran, dan juga pihak berkuasa demi memastikan wanita Iran dan asing dibenarkan untuk mendapatkan tiket dan menghadiri perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022, yang akan bermula pada September 2022 akan datang.
BBC Sport – Women’s World Cup: Fifa says it was wrong to remove fans for wearing Iran slogan T-shirts https://t.co/NBU0PagqbT
— OpenStadiums (@openStadiums) June 19, 2019
Surat daripada Infantino tiba selepas FIFA mengaku bersalah menghalau dua penyokong di Piala Dunia Wanita yang sedang berlangsung. Kedua-dua penyokong tersebut memakai sepasang T-Shirt dengan mesej sokongan untuk wanita di Iran dibenarkan memasuki stadium.
FIFA juga bersetuju mesej pada T-Shirt tersebut berbentuk ‘sosial’ dan bukan ‘politik’ sepertimana dakwaan awal. Badan induk bola sepak dunia itu memberi jaminan perkara serupa tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.